MUKAH, 18 Mei: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sarawak perlu merebut peluang dalam program Jom Explore! Why Not YP? yang membuka peluang melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan profesional.
Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, program anjuran Yayasan Peneraju itu diktiraf Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).
Malah menurutnya, ia merupakan peluang terbaik untuk anak Sarawak merancang masa depan yang lebih cerah.
“Apabila mereka memilih jurusan yang berkepentingan seperti perakaunan profesional, peluang pekerjaan memang ada. Yang penting, mereka perlu berusaha dan memanfaatkan segala peluang yang ada,” katanya ketika ditemui semasa program yang berlangsung di Mukah Innovation Digital Hub.
Pada masa sama beliau menggesa ibu bapa memberi sokongan kepada anak yang ingin melanjutkan pelajaran dalam laluan profesional walaupun berbeza dengan perjalanan akademik seperti biasa.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Strategi Yayasan Peneraju, Zatur Rawihah Omar berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dan galakan kepada pelajar lepasan SPM untuk merebut peluang menyertai program profesional perakaunan yang ditawarkan Yayasan Peneraju.
“Tahun ini kami menyediakan pakej pembiayaan pendidikan yang dikategorikan sebagai platinum, emas dan perak. Bagi pelajar lepasan SPM, kami menyarankan mereka memohon pakej platinum yang mana pembiayaan boleh mencecah sehingga RM150,000 merangkumi yuran tuisyen, peperiksaan profesional dan elaun,” ujarnya.
Menurutnya, keunikan skim tersebut terletak kepada fleksibiliti jumlah pembiayaan yang boleh dipohon mengikut keperluan pelajar.
Tambahnya, Mukah dipilih sebagai lokasi penganjuran kali ini memandangkan kedudukannya yang strategik antara Sibu dan Bintulu sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai pelajar dari kawasan luar bandar menyertai program tersebut.
Salah seorang peserta dari MRSM Mukah, Muhammad Iqbal Danish Latif menyifatkan program tersebut sebagai peluang keemasan kepada pelajar luar bandar di Sabah dan Sarawak untuk lebih mengenali serta memahami bidang akauntan profesional bertaraf antarabangsa.
“Selain itu ia juga membantu memperkasakan lebih banyak akauntan bertauliah Bumiputera terutamanya di Sarawak.
“Program ini berjaya mengubah persepsi kami terhadap kerjaya profesional. Ramai yang menganggap mustahil untuk menyambung pengajian dalam bidang ACCA kerana kosnya tinggi dan lokasi belajar yang jauh. Tapi program ini benar-benar membuka mata kami,” jelasnya.
Sementara itu, alumni Yayasan Peneraju, Sharifah Nurul Syahrina Wan Sulaiman berkongsi bagaimana Yayasan Peneraju mengubah hidupnya dan menjadi kunci kejayaannya hari ini dalam kerjaya profesional
“Selepas SPM saya ditaja untuk sambung A-level dan seterusnya ijazah dalam kejuruteraan mekanikal, Yayasan Peneraju membiayai sepenuhnya pengajian saya. Bagi saya, mereka bukan sahaja menaja pendidikan tetapi juga membentuk sahsiah dan kemahiran insaniah,” kata Sharifah Nurul Syahrina.-TVS