KUCHING, 18 Mei: Rakyat wilayah ini yang bekerja berpeluang melanjutkan pelajaran secara percuma bagi pengajian ijazah pertama secara sepenuh masa di insitusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja menyasarkan pelajar lepasan sekolah tetapi turut memberi peluang kepada golongan pekerja yang terpaksa menangguhkan pengajian akibat komitmen keluarga atau kewangan.
“Kadang-kadang ada pekerja yang sebenarnya memiliki kelulusan diploma tetapi terpaksa bekerja lebih awal disebabkan keadaan keluarga. Contohnya, apabila ayah meninggal dunia, anak lelaki perlu berkorban dan utamakan tanggungjawab.
“Namun apabila tiba masanya adik-adiknya sudah bekerja, dia boleh kembali ke kampus untuk menyambung pengajian. Ini sebahagian daripada proses peningkatan kemahiran atau upskilling,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Pekerja Tahun 2025 Peringkat Sarawak yang berlangsung di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini, hari ini.
Abang Johari menjelaskan, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada agenda menaik taraf kemahiran sejajar dengan keperluan semasa termasuk revolusi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Bagaimanapun menurutnya, syarat utama untuk kelayakan adalah status ‘K’ iaitu rakyat Sarawak yang sah dan pengajian mesti dijalankan secara sepenuh masa di kampus fizikal.
“Syarat utama untuk menikmati pendidikan percuma ini ialah individu mesti mempunyai status ‘K’ iaitu rakyat Sarawak yang sah. Maaf kepada yang tiada ‘K’, inisiatif ini hanya untuk pekerja yang ada ‘K’, mengikut keputusan yang telah ditetapkan.
“Pendidikan percuma ini hanya untuk pengajian ijazah pertama sepenuh masa di institusi milik Kerajaan Sarawak. Bukan terhad kepada lepasan sekolah, sesiapa pun boleh mohon.
“Walaupun sudah berumur 60 tahun, asalkan belum ada ijazah pertama dan belajar sepenuh masa di kampus. Pendidikan jarak jauh (PJJ) dan luar kampus tidak layak,” ujarnya. – TVS