KUCHING, 18 Mei: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menampilkan barisan kepimpinan baharu bagi sesi 2025–2028 yang merangkumi kombinasi pemimpin berpengalaman dan muka baharu.
Premier Sarawak yang juga Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia sebagai langkah memastikan kelangsungan dan relevansi parti dalam menghadapi perubahan landskap politik serta sosioekonomi.
Menurutnya, penyertaan generasi muda menerusi sayap pemuda dan wanita adalah hasil pindaan perlembagaan parti dengan matlamat membimbing serta melatih pelapis masa depan.
Langkah itu katanya penting dalam mendepani pelbagai cabaran semasa termasuk isu berkaitan teknologi, ekonomi dan ketidaktentuan politik yang semakin kompleks.
“Apa yang kita laksanakan hari ini adalah kombinasi antara pemimpin veteran dan orang baharu, pindaan perlembagaan parti telah membuka laluan kepada golongan pemuda daripada Pemuda dan Wanita untuk turut serta dalam saf kepimpinan.
“Pimpinan kita mesti ada keseimbangan di antara orang lama yang berpengalaman dan orang muda yang celik teknologi. Kita perlukan kedua-duanya untuk melangkah dalam fasa transisi ke masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pre-DUN dan Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB Sarawak 2025 bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Sabtu.
Beliau turut menekankan kepentingan pemimpin parti memahami cabaran teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan potensi ancamannya terhadap masyarakat.
“Kita hendak membangun, ini adalah era transisi ke arah ekonomi dan keadaan baharu termasuk AI. Pafa pilihan raya Singapura contohnya, mereka guna AI tapi ada peraturan tegas termasuk isu deep fake yang boleh menimbulkan fitnah,” ujarnya.
Menurutnya, perubahan yang dibawa oleh teknologi memerlukan parti untuk menyesuaikan pendekatan dan pentadbiran, termasuk cara komunikasi dan interaksi dengan rakyat.
PBB katanya perlu kekal relevan setiap masa dengan menerapkan nilai kepimpinan progresif mampu beradaptasi dalam usaha membawa Sarawak ke arah pembangunan mampan serta menyeluruh. – TVS