Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala. Foto Zaim Zharfan (TVS)

Ordinan Buruh Sarawak diperkasa, pekerja lebih dilindungi

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 18 Mei: Sambutan Hari Pekerja 2025 menyaksikan satu lonjakan besar dalam landskap buruh di wilayah ini selepas Kerajaan Sarawak mengumumkan penambahbaikan signifikan terhadap Ordinan Buruh Sarawak (SLO).

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, antara penambahbaikan itu termasuk tempoh cuti bersalin dilanjutkan, cuti paterniti diperkenalkan, waktu kerja mingguan dikurangkan serta perlindungan terhadap gangguan seksual dan diskriminasi di tempat kerja diperkukuh.

Menurutnya, langkah tersebut menjadikan ordinan tersebut lebih sejajar dengan Akta Kerja dan standard Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Pembaharuan ini bukan sekadar pindaan undang-undang, ia mencerminkan nilai-nilai kita sebagai sebuah wilayah yang menghormati maruah dalam pekerjaan, melindungi pekerja dan mengutamakan keadilan sosial.

“Kami percaya bahawa pendekatan yang seimbang di mana majikan dan pekerja sama-sama disokong selain membawa kepada kestabilan, motivasi dan produktiviti jangka panjang lebih kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Tahun 2025 Peringkat Sarawak yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini, hari ini.

Antara perkembangan penting berkaitan penambahbaikan kepada Ordinan Buruh Sarawak yang kini selari dengan Akta Kerja Persekutuan serta standard ILO termasuk cuti bersalin dilanjutkan daripada 60 hari kepada 98 hari, serta pengenalan cuti paterniti berbayar selama tujuh hari, waktu kerja mingguan dikurangkan dari 48 jam kepada 45 jam dan Pengaturan Kerja Fleksibel (FWA) kini diperkenalkan bagi memenuhi keperluan gaya hidup moden.

Selain itu, standard penempatan pekerja diperketat untuk menjamin keselamatan dan keselesaan, peruntukan baharu terhadap gangguan seksual di tempat kerja kini dianggap satu kesalahan dan peruntukan Anti-Diskriminasi diperkenalkan bagi membolehkan pekerja melaporkan amalan diskriminasi di tempat kerja.

Sambutan Hari Pekerja 2025 Peringkat Sarawak merupakan kali pertama diadakan di peringkat negeri dengan kerjasama penuh Kerajaan Sarawak dan Persekutuan bersama wakil majikan dan pekerja menjadikannya satu detik bersejarah dalam memperkasa peranan pekerja di wilayah ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan