MIRI, 18 Mei: Perarakan Niti Daun Gawai Dayak bukan sekadar perarakan kebudayaan tetapi merupakan manifestasi jati diri, warisan dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Stephen Rundi Utom berkata, program julung kali diadakan di Daerah Subis itu berjaya mengangkat satu lagi elemen penting dalam budaya kaum Dayak iaitu Niti Daun.
“Saya harap ini bukanlah julung-julung kali, mungkin setiap tahun boleh buat. Dan saya ada terima ‘surat cinta’ tapi saya lupa apa isinya nanti saya baca balik, walaubagaimanapun saya akan menyumbangkan sebanyak RM30,000 untuk menjayakan apa-apa program,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena berkata demikian ketika berucap pada Majlis Niti Daun Gawai Dayak Daerah Subis 2025 di sini, hari ini.
Menurutnya, perarakan sejauh dua kilometer tersebut diiringi dengan persembahan gendang pampat, tarian ngajat dan taboh yang dapat mencerminkan kekayaan serta keindahan budaya di Sarawak.
Acara tersebut juga katanya berpotensi untuk dijadikan sebagai satu produk pelancongan budaya tahunan di Daerah Subis.
Sebanyak 13 kontinjen dengan 2,000 peserta menyertai perakakan tersebut. – TVS