SARIKEI, 18 Mei : Kempen kitar semula anjuran Majlis Daerah Sarikei (MDS) yang bermula sejak tahun 2022 terus mendapat sambutan luar biasa daripada komuniti setempat.
Kempen itu bukan sahaja meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar malah berjaya menggalakkan penyertaan aktif penduduk dalam usaha kitar semula.
Pengerusi MDS, Wong Kie Yong berkata, kutipan bahan kitar semula menunjukkan peningkatan ketara sejak kempen tersebut diperkenalkan.
Pada tahun pertama penganjurannya, hanya 5,278 kilogram (kg) bahan berjaya dikumpulkan.
Namun pada tahun 2023 katanya, jumlah kutipan melonjak kepada 13,369.8 kg dan terus meningkat kepada 27,954.57 kg pada tahun 2024 iaitu peningkatan sebanyak 52 peratus.
“Kempen ini kini dinanti-nantikan oleh penduduk Sarikei saban tahun kerana manfaatnya yang jelas bukan sahaja kepada alam sekitar, malah kepada komuniti,” kata Kie Yong ketika ditemui pada majlis penyerahan insentif kempen tersebut.
Komponen utama kempen merangkumi pembelian barangan buangan elektrik dan elektronik (e-waste), selain barangan kitar semula seperti botol plastik, tin minuman, kotak, bekas telur serta botol kaca.
Minyak masak terpakai juga merupakan antara bahan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta.
Bagi menggalakkan lebih ramai penyertaan, MDS turut memberikan insentif berupa barangan keperluan harian kepada penduduk yang menyumbang bahan kitar semula.
Kie Yong berkata, inisiatif itu bukan sahaja memberi ganjaran kepada peserta malah memupuk semangat tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, pembuangan barangan e-waste secara sewenang-wenangnya boleh mencemarkan alam sekitar kerana ia tergolong dalam kategori buangan berjadual dan memerlukan pelupusan secara terkawal dan selamat.
“Begitu juga dengan barangan plastik yang sukar diuraikan dan boleh mengambil masa sehingga 10,000 tahun untuk terurai sepenuhnya.
“Setiap botol yang dikitar semula, setiap kertas yang dikumpulkan dan setiap tindakan kecil kita memberi impak yang besar kepada alam sekitar. Tindakan berterusan ini bukan sekadar usaha hari ini tetapi penentu kepada masa depan generasi akan datang,” ujarnya.
Sehubungan itu, MDS menyeru lebih ramai penduduk untuk menyertai kempen ini sebagai satu usaha bersama memelihara kebersihan dan kelestarian persekitaran.
Malah, komitmen masyarakat Sarikei menjadi contoh dalam membentuk budaya hijau yang lestari di seluruh negara.-TVS