MANILA, 18 Mei: Jabatan Pelancongan Filipina (DOT) menyatakan sokongan padu terhadap usaha mewujudkan visa seragam ASEAN, dengan menyatakan ia boleh membantu menjadikan rantau ini sebagai destinasi pelancongan unggul.
Menurut Agensi Berita Filipina (PNA), Setiausaha Pelancongan Christina Garcia Frasco menyampaikan kenyataan itu semasa Forum SKIFT Asia 2025 di Bangkok, Thailand pada Khamis lepas, dan beliau merupakan seorang daripada penceramah utama.
Cadangan visa seragam ASEAN itu, yang diilhamkan daripada visa Schengen Eropah dan visa bersama Majlis Kerjasama Teluk (GCC), semakin mendapat sokongan dalam kalangan negara anggota ASEAN.
“Slogan iklan ASEAN adalah ‘Destinasi untuk setiap impian.’ Dan visa ASEAN pastinya sebahagian daripada impian itu,” kata Frasco dalam satu kenyataan yang dikeluarkan DOT pada Ahad.
“Untuk dapat menyatukan ASEAN sebagai satu destinasi… adalah sesuatu yang menjadi aspirasi bagi kami di Filipina.”
Beliau turut mendedahkan bahawa terdapat “minat yang serupa” daripada negara Asia Tenggara lain mengenai sistem visa seragam ini.
“Kami sangat berharap isu ini akan dibincangkan semula apabila Filipina menjadi tuan rumah ASEAN pada 2026,” katanya.
Ketua Jabatan Pelancongan itu menekankan potensi kerjasama serantau yang dipertingkatkan walaupun terdapat persaingan antara negara-negara ASEAN.
“Persaingan sentiasa sihat, tetapi kerjasama lebih sihat kerana ASEAN yang bersatu sebagai satu kuasa positif untuk dunia akan memberi manfaat kepada semua negara kami,” katanya.
Beliau memberi contoh kerjasama Filipina dengan Thailand melalui kempen “Dua Negara, Satu Destinasi”.
Frasco turut menekankan kepelbagaian budaya dan kulinari Filipina sebagai tarikan utama kepada pelancong ASEAN.
“Apa yang kami tawarkan… adalah sebuah kisah – kisah tentang rakyat yang bangga hasil pengaruh generasi demi generasi,” katanya. “Anda tiba di Filipina sebagai tetamu, tetapi pergi sebagai keluarga.” -TVS