KUCHING, 18 Mei: Dua mangsa yang terbabit dalam kemalangan dua kenderaan di kawasan Kilometer 11.5, Jalan Bau-Serikin tengah malam tadi meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Bau, DSP Dr. Daram Ruer berkata, pemandu kenderaan Perodua Myvi meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Bau.
Menurutnya, penumpang di bahagian depan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Bau.
“Pemandu kenderaan Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Bau menerima laporan berhubung kemalangan ini jam 12.05 tengah malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu kereta Perodua Myvi sedang bergerak lurus dari arah Serikin menuju ke Bau.
“Semasa melalui jalan berselekoh dipercayai telah hilang Kawalan di terbabas masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah kenderaan Toyota Hilux yang bergerak dari arah Bau menuju ke arah Kampung Bogag.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 Dan kes masih dalam siasatan,” ujarnya.
Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran. – TVS