PENDERMAAN organ bukanlah perkara baharu namun stigma negatif menyebabkan ia dianggap sebagai perkara menyusahkan dan menyakitkan.
Ia mungkin disebabkan kurang kesedaran atau pendedahan, ini kerana organ seperti buah pinggang boleh didermakan untuk manfaat orang lain.
Sebenarnya buah pinggang boleh didermakan oleh mereka yang masih hidup seperti ibu bapa, keluarga, rakan, pasangan atau penderma yang telah meninggal dunia.
Untuk mendapatkan buah pinggang daripada penderma yang meninggal dunia, tempoh menunggu adalah sekitar lapan hingga 10 tahun.
Ketua Koordinator Pendermaan Organ Negeri Sarawak, Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH), Dr Uma Devi Ramadass berkata, di Malaysia sekurang-kurangnya 10,000 pesakit buah pinggang sedang menunggu untuk mendapatkan organ.
“Tetapi ada juga yang menunggu organ seperti hati, jantung dan paru-paru. Untuk pesakit buah pinggang mereka ada pilihan untuk melakukan dialisis tetapi untuk organ lain mereka hanya perlu menunggu sehingga mendapat penderma sesuai.
“Transplan buah pinggang hanya boleh dilakukan apabila ada penderma tidak kira penderma itu dalam kalangan ahli keluarga atau penderma yang telah meninggal dunia. Tapi kita lebih menyokong kepada penderma yang meninggal dunia kerana tiada risiko yang akan dialami penderma,” katanya ketika ditemui TVS baru-baru ini.
Dr. Uma menjelaskan, seramai 4,000 pesakit di Sarawak disahkan menghadapi kegagalan buah pinggang dan sedang menjalani rawatan dialisis yang mana 2,000 pesakit memang sesuai untuk melalui pemindahan atau transplan buah pinggang.
Punca berlakunya kegagalan buah pingggang kata Dr. Uma adalah disebabkan gaya hidup.
“Seperti yang diketahui, kebanyakan daripada kita kini terdedah dengan tekanan sekeliling, cara pemakanan dan ada juga yang memang telah didiagnos mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi. Penyakit-penyakit inilah yang menyebabkan berlakunya kegagalan buah pinggang.
“Di Malaysia kini, setiap hari kita mempunyai lebih 20 pesakit yang disahkan mengalami kerosakan buah pinggang yang bukan berlaku pada tahap permulaan tetapi sudah di peringkat yang perlu didialisis,” ujarnya.
Menurut Dr. Uma, transplan buah pinggang hanya akan dilakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dijalankan sekiranya terdapat keserasian darah antara penderma dengan penerima selepas melakukan beberapa ujian.
Bagaimanapun kata Dr. Uma, risiko adalah lebih tinggi sekiranya penderma tersebut menderma semasa hidup berbanding penderma yang meninggal dunia.
“Oleh sebab itu, kita sangat menggalakkan dan mempromosikan untuk menderma selepas kematian kerana selepas kematian si penderma tidak akan menanggung apa-apa risiko jika dibandingkan dengan penderma masih hidup.
“Bagi penderma masih hidup, kemungkinan untuk mereka mendapat jangkitan selepas pembedahan adalah tinggi,” katanya.
Baru-baru ini terdapat satu kes di Miri yang mana penderma berikrar sejak 2014 dan hasrat murninya itu terlaksana apabila keluarga membenarkan untuk melakukan transplan buah pinggang selepas kematiannya.
“Kita sangat berterima kasih kepada keluarga mendiang kerana walaupun dalam keadaan sangat emosional mereka tetap ingat apa yang mendiang minta.
“Sebab kita di Malaysia ini masih perlu meminta kebenaran ahli keluarga atau waris sama ada bersetuju untuk membenarkan pendermaan organ berlaku atau tidak,” katanya.
Di Sarawak menurutnya, peratusan pendaftaran bagi penderma organ adalah sekitar 0.6 peratus jika dibandingkan dengan Wilayah Persekutuan iaitu 2.32 peratus.
Jika dilihat pada laman web rasmi Pusat Sumber Transplan Nasional, sehingga April 2025, seramai 1,007 pengikrar baharu yang mendaftar sebagai penderma organ yang mana 338 pengikrar adalah berusia antara 20 hingga 29 tahun.
Memetik kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah,cperlu lebih banyak usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendermaan organ.
Ini kerana katanya Sarawak dilihat masih rendah dari segi menerima penderma organ disebabkan ramai yang tidak memahami proses pendermaan organ selain timbul banyak perspektif dari sudut agama.
Menurutnya, salah satu usaha adalah melalui penganjuran kempen pendermaan organ supaya orang awam mengetahui kepentingan menderma organ sama seperti menderma darah.
Bagi memupuk kesedaran terhadap pendermaan organ dalam kalangan generasi muda, Pusat Sumber Transplan Nasional kata Dr Uma melancarkan program Jom Ikrar yang diperkenalkan sejak 1999.
“Tahun lepas, Universiti Malaya (UM) melancarkan program PULSE (Pledge for the Urgent Life Saving Efforts) manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) memperkenalkan program-program melalui pelajar mereka untuk memupuk kesedaran dan kepentingan pendermaan organ,” jelasnya.
Diharapkan dengan perkongsian maklumat sebegini dapat membantu memberi kesedaran terhadap masyarakat untuk lebih berani tampil ke hadapan bagi mendaftar sebagai penderma organ. – TVS