LIMBANG, 18 Mei: Bazar Gawai Dayak Limbang bukan saja simbol keharmonian kaum dan agama malah memperkasakan ekonomi komuniti setempat melalui aktiviti keusahawanan.
Pengerusi Persatuan Iban Limbang (PIL) Ali Adap berkata, ia memberi peluang kepada masyarakat di Limbang untuk berniaga dan memajukan bidang keusahawan sekali gus meraikan kebudayaan masyarakat Dayak yang meraikan Gawai.
Menurutnya, keunikan budaya, makanan dan pakaian tradisional yang ditonjolkan pada penganjuran program itu menjadi kekuatan untuk dijadikan acara utama agar dapat dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sarawak pada masa akan datang.
“Menariknya,peniaga di Bazaar Gawai Dayak ini melibatkan penyertaan daripada pelbagai kaum di Limbang sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama masyarakat setempat.
“Malah melalui program ini, ia dapat memperkasa ekonomi masyarakat setempat,” katanya pada Majlis Bazar Gawai Dayak 2025 malam tadi.
Ali berkata, program seperti itu bukan hanya mencerminkan budaya masyarakat Dayak tetapi turut memperlihatkan semangat muhibah antara kaum yang menjadi kekuatan di Limbang.
Beliau optimis inisiatif yang dilaksanakan PIL itu bukan sahaja memartabatkan budaya malah memperkukuh identiti masyarakat Iban dalam arus pembangunan negara dan menjadi pemangkin kepada pemerkasaan ekonomi komuniti setempat.
Sebanyak 42 gerai mengambil bahagian dalam bazar tersebut yang menawarkan pelbagai jenis produk dan juadah tradisional yang mendapat sambutan meriah daripada pengunjung. -TVS.