KUCHING, 17 Mei: Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dilantik sebagai Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang baharu sekali gus menandakan kesinambungan perkhidmatannya dalam parti tersebut.
Pelantikan itu dibuat oleh Premier Sarawak yang juga Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam Mesyuarat Pra-DUN dan Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Sabtu.
Menurut Abdul Karim, pelantikan tersebut menandakan kepercayaan pimpinan parti terhadap peranan beliau dalam memperkukuh komunikasi parti dan memastikan mesej rasmi disampaikan dengan tepat serta berkesan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak yang juga presiden parti kerana melantik saya sebagai ketua penerangan yang baharu. Ini menunjukkan kepercayaan yang masih diberikan oleh pimpinan parti untuk saya terus berkhidmat dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB,” katanya.
Menurutnya, tanggungjawab beliau sebagai ketua penerangan tidak jauh berbeza dengan peranan sebelum ini ketika memegang jawatan Naib Presiden PBB yang mana beliau juga pernah mengeluarkan kenyataan rasmi bagi pihak parti.
“Penerangan saya kini lebih menyeluruh, yang mana saya akan berhubung rapat dengan Setiausaha Agung (Datuk Seri Alexander Nanta Linggi) dan Presiden bagi memastikan setiap kenyataan mewakili pendirian rasmi parti,” ujarnya.
Abdul Karim turut menegaskan setiap kenyataan yang dikeluarkan di bawah tanggungjawabnya akan lebih fokus kepada kepentingan parti dan masyarakat bukannya bersifat peribadi.
“Saya akan pastikan kenyataan yang dikeluarkan tidak bersifat peribadi tetapi selari dengan matlamat dan dasar parti demi kepentingan bersama,” jelasnya. – TVS