KUCHING, 17 Mei: Penganjuran Festival Nyamai Gastronomi Sarawak perlu lebih kreatif untuk memastikan ia terus relevan dan menyokong agenda pembangunan mampan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, walaupun selepas hampir tiga tahun penganjuran dan berjaya dibuktikan potensinya dalam mempromosi pelancongan dan kelestarian namun penyertaan lebih ramai pihak serta idea baharu masih diperlukan.
“Apa yang perlu dilakukan ialah kita mesti memperkenalkan lebih banyak elemen kreativiti khususnya penglibatan lebih ramai orang daripada pelbagai industri supaya mereka juga dapat melihat bahawa kehadiran mereka adalah penting dalam program ini.
“Kita tidak mahu hanya melihat kumpulan yang sama setiap kali terutamanya dari sektor makanan sahaja. Kita juga perlu melibatkan mereka daripada industri lain untuk turut membantu, contohnya dalam aspek penjagaan alam sekitar kerana itu juga adalah keutamaan kita,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Festival Nyamai Gastronomi Sarawak 2025 di sini, hari ini.
Beliau turut mencadangkan agar golongan muda termasuk kanak-kanak dilibatkan dalam program seperti itu untuk memupuk rasa cinta kepada alam sekitar sejak awal usia.
Terdahulu ketika berucap, Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, Nyamai Gastronomi 2025 dijangka menarik 20,000 pengunjung.
“Tahun ini, Nyamai akan memperkenalkan pelbagai pembaharuan termasuk penglibatan 200 peniaga dalam tujuh kategori berbeza. Susun atur acara juga akan diperluas sehingga ke kawasan Damai Central.
“Acara ini menyaksikan sesi demonstrasi makanan tradisional, bengkel seni dan kraftangan serta pengalaman mesra keluarga dengan pelbagai aktiviti sukan dan persembahan muzik untuk dinikmati semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
Festival Nyamai Gastronomi Sarawak 2025 akan berlangsung pada 26 hingga 27 Julai ini bertempat di Kampung Budaya Sarawak dengan kemasukan percuma kepada orang awam.
Pengunjung boleh menebus pas masuk percuma dengan menekan butang like dan mengikuti NYAMAI Sarawak di platform media sosial rasmi kami termasuk Facebook dan Instagram. – TVS