GEORGE TOWN, 17 Mei: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan draf cadangan pindaan Akta Penjara 1995 pada sesi Parlimen tahun ini bagi membolehkan tahanan reman menjalani hukuman di rumah.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada 81,000 individu yang sedang ditahan di penjara ketika ini, seramai 27,000 daripadanya merupakan tahanan reman.
Menurut beliau, pindaan akta tersebut antara lain bertujuan membuka peluang kepada tahanan reman untuk menyertai program kerjasama dengan syarikat swasta, khususnya berkaitan tawaran pekerjaan di luar penjara.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberi peluang pekerjaan kepada tahanan yang melakukan kesalahan ringan, tetapi turut memberi manfaat kepada syarikat swasta yang tidak lagi perlu bergantung kepada pekerja asing.
“Sasaran kita adalah golongan tahanan reman supaya mereka dapat bersama keluarga, dan mereka akan dipakaikan peranti pemantauan yang lebih manusiawi.
“Namun, ini tidak bermakna semua 27,000 tahanan reman akan diberi kelonggaran ini. Kita akan menggunakan kaedah tapisan yang teliti,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Penjara ke-235 di Padang Kota Lama di sini, hari ini.
Majlis itu telah dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, dan Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.
Tambah Saifuddin, dasar pindaan tersebut telah diluluskan oleh Kabinet dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada Julai atau Oktober tahun ini.
“Setakat ini, draf pindaan sedang disemak oleh Jabatan Peguam Negara,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa KDN akan meminda Akta Perintah Kehadiran Wajib bagi mengurangkan kesesakan di penjara.
Katanya, pindaan itu bertujuan memperluas skop pelaksanaan hukuman ringan, daripada hanya untuk pesalah yang dihukum penjara empat tahun ke bawah kepada mereka yang dihukum sehingga 10 tahun. – TVS