SIBU, 17 Mei: Perpaduan rakyat Sarawak merupakan asas kekuatan utama dalam usaha menuntut hak-hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tegas Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr Annuar Rapaee.
Beliau berkata, dengan lebih 27 etnik yang hidup harmoni di Sarawak, kekuatan sebenar negeri ini terletak pada kesatuan rakyat yang mampu memberi sokongan padu kepada kepimpinan negeri dalam rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Tiada lain yang lebih kuat daripada perpaduan kita sendiri. Kita mesti bersatu untuk menuntut hak-hak Sarawak di bawah MA63. Pemimpin kita sedang berunding, dan kita sebagai rakyat harus berdiri teguh di belakang mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Program Pra Gawai 2025 anjuran Parti Demokratik Progresif (PDP) Cawangan N53 Bawang Assan di Sibu pada Jumaat.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka turut memberi jaminan bahawa sebagai Timbalan Menteri berkaitan pendidikan, beliau komited memastikan hak-hak pendidikan Sarawak dikembalikan seperti termaktub dalam Perjanjian MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), khususnya perenggan 17.
“Rakyat Sarawak berhak menentukan halatuju dasar pendidikan sendiri demi masa depan anak-anak kita. Ini janji saya,” tegasnya.
Dalam pada itu, Dr Annuar turut mengingatkan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir dan kerjasama erat antara parti-parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) harus diperkukuhkan bagi menjamin kemenangan bergaya seperti sebelum ini.
“Kita mungkin rasa tenang sebab tak ada suara pembangkang sekarang. Tapi orang Melayu kata, jangan disangka air yang tenang tiada buaya. Musuh sebenar kadangkala bukan di luar, tapi dari dalam iaitu sikap leka dan terlalu yakin. Itulah musuh yang perlu kita lawan,” katanya.
Menurut beliau, PBB sebagai tunjang GPS akan terus memberi sokongan penuh kepada semua parti komponen yang bertanding, dan akan memastikan setiap calon dipilih memenangi kerusi masing-masing.
Menyentuh tentang perayaan Gawai Dayak, Dr Annuar turut menekankan kepentingan perayaan itu sebagai lambang perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak, dan menyeru agar ia diraikan oleh semua kaum, bukan hanya oleh komuniti Dayak.
“Gawai bukan hanya untuk orang Iban, Bidayuh atau Orang Ulu. Sama seperti Hari Raya dan Tahun Baru Cina, ia adalah perayaan kita bersama. Inilah keunikan Sarawak yang patut kita banggakan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, keharmonian dan kestabilan politik Sarawak harus terus dijaga sebagai contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia.
Program anjuran PDP itu turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, pemimpin-pemimpin tempatan dan masyarakat pelbagai kaum dari sekitar kawasan-TVS