Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan erat Malaysia dan Rusia tidak seharusnya dilihat sebagai situasi ‘menang atau rugi’ kerana sebagai sebuah negara perdagangan terbuka, Malaysia perlu mengembangkan perkongsian untuk melindungi kepentingan ekonominya.Foto fail AFP

Perkongsian erat Malaysia, Rusia tidak gugat hubungan dengan negara lain – PM Anwar

ByBernama

KAZAN (TATARSTAN) 17 Mei: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan erat Malaysia dan Rusia tidak seharusnya dilihat sebagai situasi ‘menang atau rugi’ kerana sebagai sebuah negara perdagangan terbuka, Malaysia perlu mengembangkan perkongsian untuk melindungi kepentingan ekonominya.

Beliau menegaskan mengukuhkan hubungan dengan sesebuah negara tidak bermakna melemahkan hubungan dengan negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS).

“Ia tidak sepatutnya dilihat sebagai soal menang atau rugi. Ia sepatutnya menjadi pelengkap,” kata Anwar kepada pemberita pada hari akhir lawatan rasmi empat hari beliau ke Rusia.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada hubungan erat dengan Moscow akan menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara lain.

Semasa lawatan tersebut Anwar mengadakan pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin, Perdana Menteri Mikhail Mishustin dan pelbagai pemimpin industri di Moscow dan Kazan.

“Malah, sebagai sebuah negara perdagangan terbuka, Malaysia terus komited untuk mengembangkan perkongsian perdagangan secara meluas dan bebas, sebagai sebahagian daripada usaha untuk melindungi dan mempromosikan kepentingan ekonomi negara.

“Malaysia adalah sebuah negara perdagangan terbuka. Untuk melindungi kepentingan kita, kita perlu meluaskan pasaran dan perkongsian perdagangan kita,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

Menurut beliau, Malaysia terus mengalu-alukan pelaburan dari AS sambil memberi contoh perbincangan yang berlangsung antara agensi Malaysia dengan beberapa agensi AS baru-baru ini.

“Malah, baru minggu lepas, AMD (Advanced Micro Devices Inc) berada di sana (Malaysia). Terdapat perbincangan serius untuk mengembangkan aktiviti (mereka) dan kita sudah pastinya sangat mengalu-alukannya,” kata Perdana Menteri.

Mengenai sekatan yang dihadapi Rusia, Anwar mengulangi pendirian Malaysia bahawa hanya sekatan yang disahkan oleh institusi pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan diambil pertimbangan dalam dasar luarnya.

“Jika sekatan dikenakan oleh agensi pelbagai hala seperti PBB, sudah tentu kita menghormatinya. Tetapi jika ia adalah tindakan unilateral oleh mana-mana negara individu, sukar bagi kita sebagai sebuah negara merdeka untuk menghormatinya,” kata beliau.

Sementara itu mengenai isu berkaitan pembayaran dibangkitkan oleh perniagaan Malaysia yang beroperasi di Rusia, beliau berkata kedua-dua kerajaan sedang berusaha untuk mencari penyelesaian.

“Terdapat banyak bidang yang tidak berada di bawah sekatan, seperti pendidikan, contohnya. Kita sedang maju ke hadapan dalam sektor itu,” katanya.

Semasa lawatan beliau, Anwar memberi tumpuan kepada meningkatkan kerjasama ekonomi terutamanya dalam industri halal dan Kewangan Islam.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan