KUCHING, 17 Mei: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti bantuan sesuai untuk disalurkan kepada waris mangsa Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan jalan raya 13 Mei lalu.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementeriannya sedang mendapatkan maklumat berhubung bantuan yang diberikan menerusi pelbagai saluran termasuk insurans dan polisi sedia ada sebelum menentukan bentuk bantuan tambahan.
“Perkara ini telah dibincangkan semasa mesyuarat Jemaah Menteri dan kita sedang meneliti terlebih dahulu bentuk bantuan yang telah atau akan diberikan kepada waris termasuk melalui insurans dan bantuan lain yang disediakan seperti pihak polis atau agensi berkaitan.
“Kementerian biasanya akan turut menyalurkan bantuan namun kita perlu melihat dahulu jumlah serta jenis bantuan yang diberikan sebelum menentukan bentuk sumbangan tambahan yang sesuai daripada pihak kami,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Festival Nyamai Gastronomi Sarawak 2025 di sini, hari ini.
Tambahnya, pihak kementerian telah mendapat maklumat lengkap berhubung situasi waris mangsa hasil kerjasama pihak polis, Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta wakil menteri yang turun padang bertemu keluarga terlibat.
Mengulas mengenai bantuan kaunseling, Nancy berkata, ia biasanya ditawarkan selepas beberapa hari demi kestabilan emosi dan sensitiviti keluarga mangsa.
Terdahulu pada 13 Mei, Teluk Intan digemparkan dengan kemalangan lori muatan batu dan lori FRU.
Seramai 18 anggota FRU dalam lori tersebut yang mana sembilan daripada mereka maut manakala tujuh lagi cedera.-TVS