MIRI, 17 Mei: Kerjasama menjadi kunci kepada kestabilan dan kekuatan rakyat Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, berkata ia juga penting demi mempertahankan hak Sarawak.
“Jadi apa yang penting sekali ialah kita sebagai rakyat Sarawak kita bekerjasama erat demi kebaikan semua, bukan untuk satu kumpulan, untuk satu kaum, tetapi untuk semua rakyat Sarawak. Kita semua adalah anak anak Sarawak, kita semua dalam satu keluarga yang sama.
“Dan kalau ada kita keadaan macam itu, Sarawak tetap boleh maju, makmur. Apabila Sarawak maju makmur, kita semua anak-anak Sarawak boleh menikmatinya. Inilah cara kita. Dalam pentadbiran kerajaan Sarawak memang kita maok rakyat kita semua berganding bahu, bekerjasama, hormat menghormati sama-sama kita memajukan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN Senadin di sini hari ini.
Sebanyak 108 pertubuhan di bawah DUN Senadin menerima MRP ini.
Ia bagi membantu pertubuhan-pertubuhan tersebut mengadakan aktiviti yang bermanfaat kepada masyarakat.
Antara yang menerima cek MRP pada hari ini ialah Persatuan Penganut Dewa Some Shak Lung Kung Miri, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Agama (MIS) Miri, Persatuan Hakka Miri dan banyak lagi.
Penyampaian cek ini diadakan dalam dua kumpulan. – TVS