KUALA LUMPUR, 17 Mei: Kerajaan kini sedang mempertimbangkan penggunaan kamera pemuka (dash cam) dalam kenderaan sebagai langkah mempertingkat keselamatan jalan raya.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, rakaman dash cam boleh menjadi bahan bukti penting dalam insiden kemalangan jalan raya, di samping menyumbang kepada pembentukan budaya pemanduan yang lebih bertanggungjawab dan selamat.
“Teknologi seperti dash cam sebenarnya telah lama digunakan di negara luar. Di Malaysia, kita juga sedang meneliti kemungkinan untuk menjadikannya mandatori melalui undang-undang.
“Rakaman ini bukan sahaja boleh dijadikan bukti, tetapi juga menyumbang ke arah pemanduan yang lebih selamat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada TVS selepas menghadiri Program Modern Vehicle Expert Consortium (MOVE) yang menghimpunkan pelbagai agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MoT), termasuk Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan agensi keselamatan siber.
Mengulas lanjut mengenai program tersebut, Hasbi menegaskan bahawa pelbagai topik dibincangkan menjurus kepada kemajuan teknologi pengangkutan, khususnya aspek keselamatan.
“Hari ini MIROS, bersama agensi-agensi di bawah MoT serta agensi keselamatan siber, hadir dalam program MOVE yang membincangkan pelbagai topik berkaitan kemajuan teknologi pengangkutan, terutama bagi memastikan pemanduan dan kenderaan yang lebih selamat.
“Ini amat penting memandangkan lambakan teknologi baharu masa kini, termasuk kenderaan elektrik (EV),” ujarnya.
Tambah beliau, inisiatif ini sejajar dengan Dasar Pengangkutan Negara yang menunjukkan keseriusan kerajaan dalam memastikan keselamatan jalan raya serta mendidik masyarakat mengenai kepentingan pemanduan berhemah.
“Kerajaan menerusi MoT komited untuk terus mendidik masyarakat demi kesejahteraan bersama dan keselamatan di jalan raya,” katanya. – TVS