SERIAN, 17 Mei: Kajian Indeks Belia Sarawak 2.0 yang dijalankan bersama Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kajian yang bermula sejak 2018 ini akan diteruskan pada 2025 sebagai penanda aras penting untuk memahami tahap kepuasan hidup, kesejahteraan dan aspirasi golongan belia di Sarawak.
Menurut Abdul Karim, Sarawak adalah antara tiga negeri terawal di Malaysia yang melaksanakan kajian ini, sekali gus menonjolkan komitmen negeri dalam memahami kehendak golongan muda.
“Daripada tahun 2018 ke 2025, kita hendak melihat bagaimana perasaan anak muda dan belia terhadap perkara dalam pertanyaan melalui kajian yang dibuat. Satu daripadanya adalah tahap kesejahteraan, tahap kepuasan mereka terhadap kerajaan dan sebagainya.
“Bagi tahun ini penyelidikannya belum lagi siap kerana ia akan mengambil masa agak panjang untuk dilaksanakan di kesemua 45 daerah di Sarawak, jadi ia memakan masa beberapa bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Sarawak 2025, di Pusat Persidangan Serian, hari ini.
Jelas Abdul Karim, kajian ini dijalankan secara profesional oleh IYRES yang turun ke lapangan di seluruh Sarawak untuk mengumpul data-data yang diperlukan.
Tambahnya lagi, beliau turut percaya bahawa harapan belia-belia di negeri ini ialah mereka mahu agar masa depan mereka sentiasa dijaga.
“Kita juga pernah melalui tahap itu semasa berada di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi. Antara yang menjadi kebimbangan kita adalah sama ada terdapat pekerjaan untuk kita selepas tamat pengajian dan sebagainya.
“Adakah kita mampu menjalani kehidupan yang aman dan damai. Saya percaya belia pada hari ini turut merasakan perkara yang sama, dan ini adalah antara isu yang kita (Kerajaan Sarawak) sedang berusaha untuk tangani,” ujar beliau. – TVS