SIBU, 17 Mei: Profesion jururawat amat signifikan sebagai tonggak penting dalam sistem penjagaan kesihatan negara dan peranan mereka perlu dihargai serta diberi pengiktirafan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, jururawat adalah masa depan sistem kesihatan negara.
Sehubungan itu menurutnya, kebajikan dan pembangunan kerjaya jururawat perlu menjadi keutamaan dengan lebih banyak sokongan serta pelaburan disediakan.
“Kita perlu wujudkan suasana kerja yang menghargai, memberi semangat dan menyokong mereka dengan kemudahan serta latihan mencukupi,” katanya ketika berucap semasa Majlis Malam Jururawat anjuran Hospital Sibu bersempena sambutan Hari Jururawat di Sibu pada Jumaat malam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu juga berkata, adalah penting untuk melibatkan jururawat dalam merangka dasar kesihatan negara kerana mereka mempunyai pengalaman secara langsung dan boleh memberi pandangan berharga dalam soal penjagaan pesakit.
“Suara mereka penting dan pihak berkuasa perlu mendengar pendapat mereka,” ujarnya.
Tiong turut mengakui ramai jururawat kini terpaksa menanggung beban kerja yang berat kerana kekurangan kakitangan.
Bagaimanapun beliau memuji usaha jururawat yang tetap memberikan rawatan terbaik kepada pesakit walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“Semangat anda terus beri perkhidmatan yang terbaik walaupun dalam keadaan serba kekurangan membuktikan betapa anda sangat berdedikasi, profesional dan sanggup berkorban,” jelasnya.
Beliau turut memuji sifat penyayang dan komitmen jururawat yang sentiasa utuh sekali gus memberi sumbangan bukan sahaja di hospital tetapi juga seluruh masyarakat.
“Tugas anda memberi kesan bukan sahaja kepada pesakit tetapi juga keluarga mereka dan masyarakat secara keseluruhan,” kata Tiong.-TVS