KUCHING, 17 Mei: Primum non nocere yang membawa pengertian tidak akan menyakiti atau memberi ketidakadilan kepada pesakit merupakan sumpah ikrar pertama dilafazkan petugas kesihatan termasuklah jururawat sebelum memulakan perkhidmatan.
Ikrar itulah yang menjadi pegangan kepada jururawat terlatih, Hazirah Ibrahim, 33, yang sudah mengabdikan dirinya selama lebih 10 tahun dalam bidang perkhidmatan kesihatan sekali gus mendekatkan dirinya kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Malah, penerima Anugerah Jururawat Idaman Ku 2025 ini beriltizam untuk memajukan diri dalam memberikan perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat.
“Alhamdulillah, saya tidak menyangka akan menerima anugerah ini dan sudah tentu ia memberikan semangat buat diri saya untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pesakit,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Jururawat Sedunia 2025 Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching pada Sabtu.
Sementara itu, Rose Murnira Rosli, 48, pula berkata, sambutan Hari Jururawat Sedunia merupakan satu pengiktirafan kepadanya dan rakan sekerja di seluruh dunia.
“Ini membuatkan segala penat lelah dan pengorbanan yang dicurahkan selama lebih 25 tahun dalam profesion ini terasa amat berbaloi.
“Saya amat berbangga menjadi seorang jururawat kerana dapat memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat dan sambutan hari ini merupakan satu penghargaan kepada semua jururawat yang memberikan khidmat penuh kualiti kepada seluruh masyarakat,” ujarnya.
Bagi Pengerusi Majlis Hari Jururawat Sedunia 2025 Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching, Fatimahwati Bakawi, 58, yang mendedikasikan dirinya selama 28 tahun dalam bidang kejururawatan mahu generasi muda tampil ke hadapan dan berani menyahut cabaran untuk menyertai bidang kerjaya mulia itu.
“Untuk sesiapa yang ingin menceburi bidang kejururawatan ini, anda perlu tahu dan memahami bahawa bidang ini bukan menjurus kepada kemahiran teknikal tetapi yang paling penting adalah keikhlasan di dalam hati, kasih-sayang dan empati perlu ada.
“Jika benar berminat, perasaan penyayang itu perlu ada kerana kita mahu memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” jelasnya.-TVS