SARIKEI, 17 Mei: Satu lagi mercu tanda baharu bakal menyusul di kawasan tengah Sarawak apabila sebuah jambatan yang menghubungkan Tanah Putih ke Parit Bugis akan dibina merentasi Batang Rajang bagi menyokong usaha pembangunan agropark moden di kawasan berkenaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh jaringan infrastruktur luar bandar dan merancakkan aktiviti ekonomi berasaskan pertanian moden.
“Dalam mesyuarat yang lalu, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh memberitahu saya bahawa jalan menuju ke agropark masih lagi jalan kebun, oleh itu kita akan menaik taraf jalan berkenaan kerana ianya adalah agropark, kebun moden maka jalannya juga perlulah moden.
“Jadi, kita telah membuat keputusan untuk menaik taraf jalan ke kawasan agropark dan ini bermakna jambatan ke Parit Bugis itu termasuk juga, memandangkan ianya berdekatan dengan jalan ini nanti,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perasmian Jalan Pasi ke Jalan Sibu/Tanjung Manis dan Jambatan Batang Rajang, di sini, pada Sabtu.
Kawasan tersebut sebelum ini merupakan pusat pertanian tradisional namun kini dikenal pasti sebagai lokasi strategik bagi pembangunan agropark berkonsep moden dan berteknologi tinggi.
Ia masih menghasilkan produk pertanian yang berdaya saing sekali gus menunjukkan potensi besar untuk dimajukan secara terancang
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut memaklumkan dua lagi projek sedang dipertimbangkan iaitu penaiktarafan jalan Bintangor ke Sarikei dan pembinaan jalan dari Jalan Pasi ke Lebuhraya Pan Borneo.
“Untuk jalan Bintangor ke Sarikei, kita akan cari dana dahulu yang mana kemungkinan menggunakan dana dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) ataupun dana daripada Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
“Untuk projek ketiga iaitu jalan raya dari Jalan Pasi ke Lebuhraya Pan Borneo boleh kita tunaikan, dan sekiranya dicampur keseluruhannya, ia akan memakan peruntukan yang agak besar tetapi yang penting rakyat Sarawak harus bersatu-padu, politik stabil barulah pemimpin dapat fokus untuk mencari peruntukan untuk membina permintaan rakyat,” ujarnya.
Terdahulu, Datuk Len Talif mengemukakan cadangan bagi menaik taraf jalan Bintangor – Sarikei sepanjang 14 kilometer kepada standard JKR U5 serta pembinaan jalan baharu sepanjang 11 kilometer dari Jalan Pasi ke Lebuhraya Pan Borneo. – TVS