SARIKEI, 17 Mei: Penantian 35 tahun rakyat wilayah tengah Sarawak untuk menikmati jambatan menghubungkan Sarikei dan Tanjung Manis akhirnya direalisasikan dengan terbinanya Jambatan Batang Rajang.
Projek ikonik bernilai RM321 juta itu bukan sahaja menghubungkan kawasan strategik di Bahagian Sarikei dan Mukah malah menjadi simbol kemajuan hasil perancangan rapi Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Dato Len Talif Salleh berkata, jambatan sepanjang 1.4 kilometer dan jalan raya sejauh 17 kilometer itu merupakan hadiah tidak ternilai daripada Premier Sarawak kepada rakyat Delta Rajang.
“Ini adalah hasil visi yang dimulakan sejak tahun 1990 oleh Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud disambung oleh Allahyarham Tun Pehin Sri Adenan Satem dan kini direalisasikan oleh YAB Premier melalui pendekatan strategik ‘missing link’,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perasmian Jalan Pasi ke Jalan Sibu/ Tanjung Manis dan Jambatan Batang Rajang, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, pembukaan jambatan tersebut pada 27 Mac 2025 iaitu menjelang Aidilfitri memberi kesan ketara bukan sahaja kepada penduduk Sarikei dan Mukah malah merentasi pesisir Betong, Sri Aman dan Bintulu.
Sementara itu beliau berkata, sebanyak 72 projek pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) yang bernilai RM1.21 bilion akan ditender secara berperingkat sepanjang tahun ini dan tahun depan sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh membangunkan wilayah tengah. – TVS