JAKARTA, 17 Mei: Gunung Marapi yang terletak di wilayah Sumatera Barat, Indonesia meletus sebanyak dua kali pagi ini serta memuntahkan abu setinggi antara 700 hingga 1,000 meter dari puncaknya pada jam 9.47 dan 9.54 pagi waktu tempatan.
Berikutan peningkatan aktiviti gunung berapi tersebut, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) menaikkan status Marapi ke Tahap II (Waspada).
Pemerhati Gunung Berapi (PGA) di Bukittinggi, Ahmad Rifandi berkata, menaikkan status diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi menjamin keselamatan penduduk dan pelancong di kawasan sekitar.
“Selepas dinaikkan ke Tahap II (Waspada), orang awam termasuk pendaki dan pelancong dilarang memasuki kawasan dalam radius tiga kilometer dari kawah aktif Gunung Marapi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan abu letusan yang tebal kelihatan condong ke arah timur laut dan utara berpotensi menghala ke kawasan didiami penduduk.
Sehubungan itu, orang ramai digesa memakai pelitup muka bagi mengelak gangguan pernafasan sekiranya berlaku hujan abu.
Pihak berkuasa tempatan melakukan penyelarasan rapat dengan PVMBG bagi mendapatkan maklumat terkini secara langsung dan terus memantau perkembangan aktiviti vulkanik Gunung Marapi. – TVS