SIBU, 17 Mei: Kerjasama erat antara parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi tulang belakang kepada kestabilan politik dan kejayaan berterusan gabungan itu pada masa akan datang.
Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, sebarang usaha oleh mana-mana parti komponen untuk melemahkan atau mendominasi parti lain dalam GPS boleh mencetuskan perpecahan dalaman yang akan merugikan keseluruhan gabungan.
“Jika ada parti yang cuba menentang parti lain dalam GPS atau menggerakkan sokongan akar umbi yang bercanggah, undi GPS boleh berpecah dan pihak pembangkang akan mendapat kelebihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pra Gawai 2025 anjuran PDP cawangan N53 Bawang Assan yang berlangsung di sini, malam Jumaat.
Justeru, beliau berharap semua ahli parti komponen GPS dapat bekerjasama dan bekerja rapat, terutamanya dengan wakil rakyat penyandang dan wakil rakyat tempatan, bagi memastikan perpaduan GPS secara keseluruhan serta menjamin kemenangan GPS.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan itu menekankan bahawa Hari Gawai bukan sekadar perayaan, tetapi satu cerminan kebanggaan dan kekayaan budaya masyarakat Dayak.
“Musim perayaan ini adalah masa untuk masyarakat menghargai asal-usul mereka, meraikan hasil tuaian, dan menatap masa depan yang lebih baik dengan penuh harapan,” katanya.
Beliau turut menyeru agar perayaan Gawai menjadi platform untuk mengukuhkan komitmen terhadap pembangunan seimbang di kawasan luar bandar serta memperkasakan rakyat melalui pendidikan, infrastruktur dan peluang ekonomi.
Tambahnya, tradisi dan budaya Dayak perlu terus dipelihara bukan hanya dalam bentuk nyanyian dan tarian, tetapi juga melalui nilai-nilai penting seperti kerja keras, rasa hormat dan perpaduan.
“Maka malam ini, sambil kita berkongsi tawa, muzik dan persaudaraan, marilah kita juga berkongsi satu impian bersama: bahawa Sarawak akan terus maju, dipimpin oleh masyarakat yang kuat, bersatu, dan bangga dengan identiti mereka,” ujarnya.
Program itu turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, pemimpin-pemimpin tempatan dan masyarakat pelbagai kaum dari sekitar kawasan. – TVS