KUCHING, 17 Mei: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi menamatkan siri lawatan rasmi ke Agensi Pembangunan Wilayah (RDA) seluruh Sarawak pada Jumaat.
Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) menjadi destinasi terakhir lawatan yang bermula 5 Mei lepas.
Ia meliputi sembilan RDA merangkumi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA), Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) dan Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA).
Turut dilawati Pejabat Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) dan Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Sepanjang lawatan tersebut, Dr. Abdul Rahman didiringi wakil Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU) dan Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) yang berperanan sebagai urus setia kepada Jawatankuasa Penyelarasan Agensi Pembangunan Wilayah (RDACC).
Jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan beliau sendiri adalah untuk memperkukuh koordinasi dan pemantauan projek selain menyediakan hala tuju strategik pelaksanaan program pembangunan wilayah.
Menurutnya, beliau berharap pelaksanaan projek dapat disiapkan menjelang 2028.
“Semua agensi digesa melaksanakan projek bersifat low-hanging yang boleh disiapkan dalam tempoh kurang setahun bagi memacu pembangunan wilayah,” katanya.
Sepanjang lawatan tersebut, setiap agensi membentangkan laporan kemajuan dan cabaran semasa dalam pelaksanaan projek.-TVS