Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kerajaan Arab Saudi membiayai sepenuhnya pembedahan pemisahan bayi kembar siam warga Filipina, Klea dan Maurice Ann Misa, menurut pengumuman kedutaannya di Manila pada Jumaat.

Arab Saudi biayai pembedahan pisahkan bayi kembar siam warga Filipina

ByBernama

MANILA, 17 Mei: Kerajaan Arab Saudi membiayai sepenuhnya pembedahan pemisahan bayi kembar siam warga Filipina, Klea dan Maurice Ann Misa, menurut pengumuman kedutaannya di Manila pada Jumaat.

Menurut Agensi Berita Filipina (PNA), pasangan kembar itu dijadualkan berlepas ke Riyadh pada Sabtu, dan mereka akan menerima rawatan perubatan khusus di King Abdulaziz Medical City di bawah Kementerian Pengawal Nasional.

Kes mereka akan diselia oleh pasukan perubatan dan pembedahan yang diketuai oleh Ketua Penyelia Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman, Dr Abdullah Al Rabeeah.

Kedutaan Arab Saudi di Filipina memaklumkan bahawa pembedahan itu akan dibiayai sepenuhnya melalui Program Pemisahan Kembar Siam Arab Saudi, yang berada di bawah naungan Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud serta Perdana Menteri dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman bin Abdulaziz.

Ini adalah pasangan ketiga bayi kembar siam dari Filipina yang dirawat menerusi program kemanusiaan negara Arab itu, yang disifatkan kedutaan sebagai “lambang hubungan dua hala yang kukuh dan berterusan” antara Filipina dan Arab Saudi.

“Ia juga menekankan semangat kerjasama dalam bidang hal ehwal kesihatan dan kemanusiaan, berteraskan nilai dan prinsip mulia yang didukung oleh Kerajaan Arab Saudi di peringkat serantau dan global,” menurut kenyataan kedutaan.

Sebelum berlepas, pasangan kembar itu bersama ibu bapa mereka mengunjungi Kedutaan Arab Saudi di Manila pada Khamis dan disambut oleh Duta Faisal Ebraheem Alghamdi.

Duta itu bertanyakan mengenai keadaan kesihatan pasangan kembar berkenaan dan mendoakan kejayaan pembedahan mereka. Keluarga bayi itu pula menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi.

Sejak 1990, Program Pemisahan Kembar Siam Arab Saudi telah berjaya memudahkan pembedahan kira-kira 146 kanak-kanak dari 27 negara.

Pada 2024, pasangan kembar siam warga Filipina, Ayeesha dan Akhizah Yusoph, berjaya dipisahkan di Riyadh melalui prosedur pembedahan yang dikendalikan oleh pakar bedah pediatrik Dr Abdullah Al Rabeeah. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan