KOTA SAMARAHAN, 17 Mei: Al Badrul Abu dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak dinobatkan sebagai juara kategori Men’s Sports Physique (170cm ke atas) pada Kejuaraan Mr Keling Borneo International 2025 di Summer Mall Kota Samarahan, hari ini.
Beliau berkata, kemenangan tersebut hasil dedikasi dan komitmen tinggi semasa menjalani latihan selain diet ketat tanpa mengenal penat lelah.
“Saya berasa sangat gembira selepas dinobatkan sebagai juara kategori Men’s Sports Physique 170cm ke atas. Saya bertungkus-lumus berdiet walaupun tanpa menyambut perayaan Hari Raya tahun ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua individu yang banyak menyokong perjuangannya dalam bidang bina badan.
“Saya ingin berterima kasih kepada rakan-rakan terutama Mohd Faizal, George Awie, Brandon, Hafiz, Tarmizi, Dollah dan serta kawan-kawan lain yang banyak membantu dan memberi semangat kepada saya sepanjang menjalani latihan,” ujarnya.
Menurutnya, penghargaan turut diberikan kepada isteri tersayang, Nurkhairunnisa Norduin dan keluarga yang banyak memberi semangat.
“Terima kasih juga saya ucapkan kepada jabatan yang saya wakili iaitu PDRM kerana memberi sekali lagi kepercayaan kepada saya untuk membawa nama pasukan ke pertandingan ini.” jelasnya.

Minggu depan, beliau akan mewakili Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak untuk Kejohanan Bina Badan Piala Ketua Polis Negara 2025 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru.
Untuk rekod, pasukan bina badan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak pernah menjuarai kejohanan yang sama tahun lepas di Kuantan, Pahang – TVS