AIR dicincang tidak akan putus, begitulah perumpamaan yang sering digambarkan bagi merujuk kasih sayang antara adik-beradik.
Membantu dalam aspek kewangan mungkin perkara biasa untuk adik-beradik namun mendermakan organ badan bukan pengorbanan biasa.
Dalam siri pertama ini, saya menyingkap pengorbanan seorang adik yang sanggup mendermakan buah pinggangnya untuk kakak tersayang.
Bagi Sharifah Nur Diana Wan Mustapha, keputusan mendermakan sebelah buah pinggang kepada kakak tersayang bukanlah satu keputusan yang pernah dibayangkan sepanjang hidupnya.
“Walaupun mengetahui risiko yang akan dihadapinya selepas melakukan transplan buah pinggang, namun saya tekad untuk meneruskan niatnya demi melihat kakak tersayang dapat menjalani kehidupan biasa seperti sebelum ini.
“Tidak sanggup melihat kakak tersayang terus berada dalam kesakitan, anak bongsu daripada enam adik-beradik ini tanpa berfikir panjang mendermakan sebelah buah pinggangnya sekali gus mendapat sokongan daripada ahli keluarga dan suami,” katanya kepada TVS.
Mengakui sedikit gusar terhadap risiko selepas melakukan transplan buah pinggang, beliau bersyukur dan lega kerana pemindahan tersebut berjalan lancar tanpa sebarang kompilasi.
“Semasa hari pembedahan agak risau kerana fikirkan keadaan diri saya, bagaimana dengan kehidupan saya selepas itu, kerana saya tiada sesiapa yang berpengalaman untuk dirujuk. Jadi, saya hanya tawakal sahaja kepada Allah.
“Selepas saja saya sedar daripada pembedahan itu, saya terus mencari kakak saya (Laila) untuk mengetahui keadaan dia. Tetapi doktor memberitahu bahawa kakak saya masih lagi dalam proses pembedahan,” ujarnya.
Pada masa sama, dia bersyukur kerana disahkan mengandung setahun selepas pembedahan buah pinggang tersebut.
“Alhamdulillah semua selamat dan saya tiada mengalami sebarang risiko. Malah saya juga tidak menyangka akan mengandungkan anak bongsu saya yang kini berusia setahun empat bulan,” jelasnya.
Sementara itu, bagi Sharifah Lailawati Wan Mustapha, dia mengakui terharu dan gembira dengan pengorbanan adik bongsunya itu.
Menurut Laila, diuji dengan masalah buah pinggang menyedarkan dirinya untuk sentiasa bersyukur atas nikmati Allah.
“Setiap kali membuang air kecil, saya akan berterima kasih kepada Allah kerana memberi saya nikmat tersebut. Ini kerana saya sudah dua tahun tidak pernah membuang air kecil,” kata Laila.
Malah katanya, ahli keluarga lain juga sanggip mendermakan buah pinggang namun atas saranan doktor maka Diana yang terpilih.
“Ada beberapa pilihan ketika itu dan pilihan pertama sudah tentulah Diana. Dia juga dengan sukarela mahu mendermakan buah pinggangnyadan saya rasa sangat gembira,” ujarnya.
Dia turut mengakui pelbagai cabaran perlu ditempuh sepanjag proses sebelum pemindahan buah pinggang dilakukan selain memerlukan kesabaran tinggi.
“Semasa Diana mendaftar sebagai penderma, banyak proses yang perlu dilalui dan salah satu daripadanya adalah menurunkan berat badan. Selain itu, kita juga terpaksa menunggu giliran di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Tempoh yang diberikan kepada kami ketika itu selama setahun. Dalam tempoh tersebut kami berusaha menurunkan berat dan menunggu kekosongan untuk melakukan pembedahan,” jelasnya.
Menurut Laila, sebelum proses pemindahan buah pinggang dilakukan, kedua-dua mereka membuat ujian sel badan bagi melihat keserasian dan keputusan sangat positif.
“Kami berdua juga ada melakukan ujian sel badan bagi melihat tahap kebersamaan sel kami dan Alhamdulillah walaupun beza antara kami 11 tahun namun sel badan kami semuanya sama,” kata Laila.
Bagaimanapun dari sudut keagamaan, kebanyakan agama di seluruh dunia seperti Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan Sikh menganggap pendermaan organ dan tisu sebagai satu amalan mulia.
Seperti yang dinyatakan menerusi Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak kali ke-35 pada 7 Oktober 2020, hukum pemindahan dan pendermaan organ adalah harus.
Menurut Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin, dari segi hukum itu harus namun ianya terikat dengan beberapa syarat.
Katanya, terdapat beberapa syarat yang diharuskan bagi mendermakan organ sama ada ketika hidup atau meninggal dunia.

“Bagi penderma yang masih hidup, ia hendaklah dilakukan secara sukarela dan disahkan oleh pakar perubatan bahawa pendermaan itu tidak memudaratkan kesihatan penderma serta tiada unsur jual beli. Bahkan, organ yang ingin didermakan itu juga adalah organ yang lebih daripada satu, sebagai contoh buah pinggang supaya satu lagi organ dapat berfungsi kepada si penderma tersebut.
“Manakala bagi penderma yang telah meninggal dunia pula, ianya hendaklah dilakukan atas persetujuan wali atau waris si mati. Apa-apa keputusan untuk menderma semuanya terletak kepada waris untuk membenarkan organ tersebut didermakan atau tidak,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin mendermakan organ supaya membetulkan niat menderma dan tiada sebarang unsur keuntungan duniawi semata-mata.
Sehubungan itu katanya, orang ramai yang masih lagi ragu untuk mendermakan organ boleh merujuk kepada Jabatan Mufti Sarawak bagi mendapatkan pandangan sekali gus menghilangkan keraguan.
Kisah dua beradik ini mencerminkan betapa kuatnya ikatan kasih sayang antara mereka hingga sanggup untuk mendermakan buah pinggang dan boleh menjadi inspirasi dan mengubah persepsi masyarakat di luar sana bahawa pendermaan organ bukanlah satu perkara yang menakutkan untuk dilakukan.
Ikuti siri seterusnya bersama Ketua Koordinator Pendermaan Organ Negeri Sarawak, Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH) Dr Uma Devi Ramadass yang akan memberikan perincian lanjut mengenai pendermaan organ. – TVS