KUCHING, 16 Mei: Seramai 168 pendidik seDidik, iaitu 96 peratus daripada sejumlah 175 pendidik di seluruh negeri kini telah memiliki Diploma dan Ijazah Pendidikan Awal Kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata hasrat untuk melihat semua warga pendidik seDidik memiliki sijil dan kelayakan berkaitan dijangka akan tercapai pada penghujung tahun ini.
“Kita perlu pastikan bahawa dari segi kelayakan mesti ada dan dengan sebab itu kita melalui satu perjalanan yang panjang supaya semua pendidik seDidik akan akan betul-betul layak termasuk bayaran mereka juga dan mempunyai kategori yang mengikut seperti penjawat awam yang lain.
“Insya-Allah pada akhir tahun ini harapan dan bukannya impian lagi ya, apa yang telah ditetapkan semasa mengambil alih seDidik kepada kementerian insyaallah pada akhir tahun ini ia akan tercapai,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru 2025 SeDidik Sarawak di Kuching pada Jumaat.
Tambahnya, walaupun sudah mempunyai Diploma dan Ijazah Pendidikan Awal Kanak-kanak namun pendidik dan pengasuh digesa untuk mempunyai inisiatif sendiri bagi sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran, sesuai dengan keperluan semasa dan masa hadapan.
Ujarnya lagi, pendidik seDidik Sarawak turut diseru untuk menguasai dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penggunaan ICT supaya dapat membantu kanak-kanak dalam program-program yang berkaitan selain tidak ketinggalan dalam usaha kerajaan untuk pendigitalan yang bukan sahaja dalam bidang ekonomi malah merentasi alam pendidikan.
Majlis turut menyaksikan seramai 13 warga SeDidik Sarawak menerima anugerah sempena Majlis Sambutan Hari Guru 2025 SeDidik Sarawak kali ini.
Menurut Fatimah pengiktirafan itu bukan sekadar suatu sambutan tahunan, tetapi sebagai penghargaan kepada warga pendidik termasuk pengasuh, sebagai penyampai ilmu, pencetus inovasi, dan pembentuk masa depan anak-anak Sarawak dari peringkat awal lagi. – TVS.