KUCHING, 17 Mei: Kerajaan Sarawak menyambut baik hasrat lebih 800 pengamal perubatan profesional untuk kembali memberi perkhidmatan kesihatan terbaik di wilayah ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, langkah tersebut merupakan satu percaturan bijak dalam mendepani isu kekurangan pengamal perubatan di wilayah ini.
“Saya telah dimaklumkan bahawa lebih daripada 800 warga profesional penjagaan kesihatan menyatakan minat untuk kembali berkhidmat ke Sarawak dan kami bersedia dengan jawatan untuk menyambut kepulangan mereka.
“Saya difahamkan bahawa terdapat 69 kekosongan jawatan jururawat pelbagai gred di Bahagian Kuching pada masa ini dan dengan pelaksanaan program baharu serta Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 2025, kita akan menghadapi cabaran yang semakin meningkat. Lantas, perkhidmatan jururawat amat diperlukan terutamanya di klinik pesakit luar dan dalam perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng semasa Majlis Sambutan Hari Jururawat Sedunia 2025 Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Kuching pada Sabtu.
Menurutnya, tema ‘Our Nurses, Our Future, Caring for nurses strengthen economies’ atau ‘Jururawat Kita, Masa Depan Kita, Keprihatinan terhadap jururawat mengukuhkan ekonomi’ amat bertepatan kerana wirawati dan wirawan berpakaian seragam putih inilah yang turut memainkan peranan dalam memperkasakan kesejahteraan dan sosioekonomi warga menerusi perkhidmatan ditawarkan.
Seramai lebih 300 jururawat PKB Kuching hadir memeriahkan program sambutan Hari Jururawat Sedunia 2025 yang diadakan di Pustaka Negeri Sarawak.-TVS