KUALA LUMPUR, 16 Mei: Yayasan Peneraju (YP) melancarkan YPXLR8 (YP Accelerate), satu program strategik yang membuka peluang kepada golongan Bumiputera untuk beralih kerjaya dari bidang bukan teknologi ke sektor teknologi.
Dengan pendekatan “place-and-train”, program ini menyasarkan penyertaan 1,000 individu Bumiputera untuk dilatih dan ditempatkan dalam sektor berasaskan teknologi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dalam bidang digital di Malaysia.
Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata landskap ekonomi kini semakin menuntut penguasaan teknologi.
“YPXLR8 adalah langkah proaktif untuk membawa lebih ramai Bumiputera ke dalam sektor strategik ini.
“Ia bukan sahaja seiring dengan dasar negara seperti Pelan Ekonomi Digital Malaysia dan dasar Revolusi Industri Keempat (4IR), tetapi juga penting untuk memastikan bakat Bumiputera kekal berdaya saing dalam sektor teknologi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YP, Ibrahim Sani berkata program ini membuka ruang kepada golongan tanpa latar belakang teknologi untuk menyertai ekonomi digital.
“Kita perlu memperlengkapkan jutaan bakat sedia ada dengan kemahiran teknologi agar mereka mampu bertahan dan terus relevan,” katanya.
Peserta akan menerima latihan selama sekurang-kurangnya lapan bulan bersama Syarikat Hos (Hosting Company), dengan bimbingan industri dan pengalaman langsung.
Setiap peserta YPXLR8 akan menerima sokongan kewangan RM1,500 sebulan serta kredit latihan RM9,000 bagi pengukuhan kemahiran dalam bidang seperti Pembangunan Perisian, Data & Analitik, Infrastruktur Sistem, Keselamatan Siber, AI dan Pembelajaran Mesin, Reka Bentuk UX/UI, Pengurusan Produk, Sokongan Perisian dan Perisikan Perniagaan.
Program ini turut menyasarkan kolaborasi dengan pelbagai sektor industri yang berminat menjadi Syarikat Hos bagi memperkasa bakat Bumiputera dan merapatkan jurang kemahiran teknologi negara.
Syarikat yang ingin menyertai inisiatif ini boleh mendaftar di www.yayasanpeneraju.com.my. – TVS