PUTRAJAYA, 16 Mei: Sebanyak RM120,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Tuition Mission Putrajaya (TMP) 2025, yang memberi manfaat kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dan golongan B40, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Menurut beliau, peruntukan itu akan digunakan khusus untuk pembangunan modul pembelajaran serta latihan akademik, bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan para pelajar yang terlibat.
“Alhamdulillah, kita telah melihat kejayaan melalui program ini, dengan adanya pelajar yang berjaya memperoleh keputusan 9A dalam SPM. Ini membuktikan bahawa dengan bimbingan dan sokongan yang betul, mereka mampu cemerlang.
“Tahun ini, kita memperuntukkan bajet sebanyak RM120,000 bagi membantu pelajar dari sudut pembangunan modul dan juga latihan pembelajaran. Insya-Allah, program ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Perasmian Tuition Mission Putrajaya 2025, di Putrajaya, pada Jumaat.
TMP merupakan inisiatif di bawah Program Usaha Jaya Insan (PUJI), khususnya menerusi komponen ILMU@PUJI yang diperkenalkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP). Ia bertujuan membantu pelajar daripada golongan berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan.
Ia menawarkan tuisyen percuma untuk empat mata pelajaran teras, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah, bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dr Zaliha turut menjelaskan bahawa peruntukan terbabit merupakan satu bentuk pelaburan jangka panjang dalam usaha membuka peluang pendidikan kepada pelajar daripada kalangan keluarga miskin bandar. – TVS