PERAI, 16 Mei: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan kepada pihak industri yang didapati menyalahgunakan gas petroleum cecair (LPG) sepanjang pelaksanaan Operasi Gasak (Ops Gasak) 2025, yang bertujuan membanteras penyelewengan dan ketirisan LPG bersubsidi.
Timbalan Menterinya, Dr Fuziah Salleh, berkata pihak kementerian turut memberi amaran kepada pemborong supaya tidak mengambil jalan mudah dengan membekalkan LPG kepada pengusaha industri tanpa permit, selaras dengan matlamat memperkasakan peruntukan sedia ada.
“Tiada maaf bagi kamu jika pihak industri menggunakan LPG domestik untuk tujuan industri, atau menggunakan LPG tanpa permit.
“Ini kerana mereka adalah pengusaha industri yang wajib mematuhi semua peraturan dan garis panduan sebelum memulakan perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai pasukan KPDN Pulau Pinang dalam satu serbuan ke atas sebuah syarikat kontraktor cucian tuala dan cadar hospital di sini.
Dalam operasi itu, premis berkenaan didapati melakukan kesalahan membeli LPG industri tanpa permit yang sah.
Dua lagi serbuan serentak turut dijalankan di negeri ini, di mana keseluruhannya KPDN berjaya mengesan tiga kes penyelewengan melibatkan 38 tong LPG pelbagai saiz dengan anggaran berat 1,300 kilogram, kesemuanya tanpa permit sah.
Sementara itu, Dr Fuziah memaklumkan bahawa dalam tempoh 14 hari sejak Ops Gasak bermula pada 1 Mei lalu, KPDN telah merekodkan 52 kes hasil daripada 1,421 pemeriksaan di seluruh negara, dengan nilai rampasan mencecah RM850,730.51.
“Di Pulau Pinang sahaja, sehingga semalam, 11 kes telah diambil tindakan.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk penyimpanan LPG tanpa permit, penyalahgunaan permit, penggunaan LPG bersubsidi tanpa kebenaran, serta pemborong yang membekalkan gas tidak mengikut syarat permit,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, pihak kementerian akan mempertingkatkan sesi libat urus dengan pemain industri, susulan maklum balas yang diterima daripada pengusaha dobi yang menyatakan kebimbangan terhadap kesan operasi tersebut. – TVS