PUTRAJAYA, 16 Mei: Pengumuman berkenaan senarai penutupan jalan sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini akan dibuat dalam tempoh empat hari lagi, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini, dengan Kementerian Komunikasi akan memainkan peranan dalam mengeluarkan senarai tersebut.
“Saya percaya Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, akan membuat pengumuman dalam masa terdekat. Namun, di peringkat pasukan polis, kami sudah berada di fasa akhir persiapan.
“Malah, semasa perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu, beliau telah diberikan taklimat menyeluruh berkenaan semua aspek persiapan, termasuk komponen keselamatan,” katanya dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan seramai 7,227 pegawai dan anggota polis akan bertugas bagi memastikan aspek keselamatan para delegasi terjamin.
Beliau memberitahu, lebih 2,000 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen juga berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan kelancaran urusan di pintu masuk negara.
“Kita (KDN) mahukan kelancaran apabila mereka tiba, bukan sahaja dari sudut pemeriksaan dokumen perjalanan, tetapi juga soal bagasi mereka.
“Itu semua merupakan kayu ukur kita. Segala-galanya perlu berjalan lancar bermula daripada peringkat pegawai, pegawai kanan menteri sehinggalah ketua-ketua negara,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 dan 27 Mei ini.
Pada masa sama, turut berlangsung Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China. – TVS