Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo hari ini mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) sebagai sebahagian usaha memperkukuh pelaksanaan agenda pendigitalan negara. Foto Kementerian Digital

SAINS Kuching jadi tumpuan agenda pendigitalan negara

ByRadzi Ahmad

KUCHING, 16 Mei: Usaha memperkukuh agenda pendigitalan negara terus diperkasa menerusi lawatan rasmi Menteri Digital, Gobind Singh Deo hari ini ke ibu pejabat Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) di Kuching.

Lawatan ini bertujuan meninjau secara dekat model digitalisasi yang dibangunkan oleh SAINS, termasuk aspek infrastruktur digital, keselamatan siber, sistem penyampaian perkhidmatan dan tadbir urus data sekali gus menjadi contoh pelaksanaan transformasi digital di peringkat negeri yang boleh diadaptasi secara nasional.

“Sumbangan SAINS bukan sahaja penting untuk kemajuan Sarawak, tetapi turut berpotensi memberi impak besar terhadap pelaksanaan agenda pendigitalan di peringkat nasional,” kata Gobind menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak dan SAINS atas komitmen tinggi memajukan transformasi digital negeri.

Menurutnya, selaras komitmen kerajaan Persekutuan, pelbagai inisiatif strategik telah digerakkan seperti penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) dan pelaksanaan GovTech Malaysia, ke arah membangunkan perkhidmatan kerajaan yang lebih pintar, responsif dan berpaksikan data.

Dalam menyokong GovTech, Kerajaan Persekutuan turut menggubal Akta Perkongsian Data sebagai asas untuk memudahkan perkongsian data secara selamat, beretika dan berkesan antara agensi.

Gobind turut menegaskan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi mewujudkan ekosistem digital yang mampan dan berdaya saing.

Terdahulu, Gobind mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bagi membincangkan cadangan supaya Sarawak turut merangka undang-undang berkaitan perkongsian data.

Kata Gobind, beliau melihat reaksi positif dari Premier Sarawak, yakni Abang Johari menyatakan akan meneliti serta mempertimbangkan cadangan itu dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, lawatan ini turut menjadi medan menilai kesiapsiagaan Sarawak dalam pendigitalan serta meneroka potensi kerjasama strategik seperti pertukaran teknologi, kepakaran dan dasar digital inklusif. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan