KUCHING, 16 Mei: Memasuki edisi ke-28, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2025 kembali menghimpunkan pemuzik dan pencinta muzik dari segenap pelosok dunia di Kampung Budaya Sarawak bermula 20 hingga 22 Jun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, festival tahunan Bumi Kenyalang yang bakal berlangsung selama tiga hari itu pastinya menjanjikan pelbagai pengalaman manis dengan menyajikan pengisian dan persembahan 170 artis muzik serta budaya dari lebih 20 negara.
Menurutnya, beliau menghargai penaja RWMF 2025 yang kian bertambah saban tahun dan tanpa jemu menjadi rakan strategik dalam menjayakan festival muzik yang diadakan sejak tahun 1998.
“Kerjasama antara sektor awam dan swasta terus menjadi tunjang kejayaan segmen pelancongan kita. Menerusi perkongsian ini, kita bukan sahaja merai dan menjayakan sesebuah program keraian atau temasya tetapi juga ekonomi kreatif yang mampan.
“Ini sekali gus menghubungkan aspirasi kami dengan masyarakat tempatan dan terus membina jenama Sarawak sebagai destinasi pelancongan berwawasan serta berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Rakan Penaja RWMF 2025 di Kuching pada Jumaat.
Pencinta muzik dan pengunjung dewasa yang ingin merasai sendiri suasana magis RWMF 2025 boleh mendapatkan pas sehari dengan harga pra jualan RM283 bermula 1 April hingga 19 Jun ini dan harga tersebut adalah RM50 lebih murah berbanding harga jualan pintu RM333.
Bagi yang ingin menikmati suasana penuh selama tiga hari RWMF 2025 pula, harga pra jualan ditetapkan RM765 berbanding harga jualan pintu ditetapkan pada harga RM835.
Manakala bagi kanak-kanak berusia antara tiga hingga 12 tahun pula, harga pas sehari dijual dengan harga RM80 dan menariknya kanak-kanak berusia di bawah tiga tahun dibenarkan masuk secara percuma.
Pada edisi ke-28 kali ini, antara penaja yang terlibat termasuklah Malaysian Aviation Group (MAG), AMBANK Group, CUCKOO Malaysia, PROTON EDAR Malaysia, ETIKA Sdn Bhd (PEPSI), Wicked Wave Sdn Bhd (RIPCURL), Sarawak Energy Berhad, SD Guthrie International Professional Sdn Bhd, MYCAR, Trienekens, Carlsberg, The Waterfront Hotel & Plaza Merdeka serta media rasmi CATS FM dan Sarawak Media Group (TVS).
Antara himpunan artis dan pengkarya seni yang akan turut serta pada RWMF edisi ke-28 ini termasuklah kugiran terkemuka dunia ‘Earth, Wind & Fire Experience by Al Mckay’ dari Amerika Syarikat, Otyken dari Rusia, Kuntau Mindanao dari Filipina serta At Adau dari Malaysia.
Selain persembahan pentas, edisi penganjuran RWMF 2025 kali ini turut padat dengan bengkel, pameran serta aktiviti jualan seperti produk kraftangan, makanan budaya dan banyak lagi.-TVS