TAWAU, 16 Mei: Polis menahan empat lelaki dan merampas sepucuk pistol serta sebilah pedang samurai dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Semarak, di sini.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman media sosial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah selepas menerima maklumat risikan berhubung kegiatan mencurigakan di kawasan perumahan itu.
Kesemua suspek berusia antara 29 hingga 54 tahun itu berada di dalam rumah ketika pasukan polis menyerbu premis terbabit.
Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sepucuk pistol bersama kelopak berisi peluru, beberapa butir peluru tambahan, sarung pistol dan sebilah pedang samurai lengkap dengan sarung.
Kesemua suspek serta barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan minimum enam sebatan jika sabit kesalahan.-TVS