Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-54 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini. Foto Bernama

Pertukaran guru lebih fleksibel, tanpa syarat selepas 2 tahun

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 16 Mei: Guru yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya dua tahun atau 24 bulan kini boleh memohon pertukaran tanpa sebarang syarat, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Inisiatif ini merupakan antara enam langkah utama yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-54 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh kebajikan dan pembangunan profesional warga pendidik di seluruh negara.

“(Inisiatif) Kedua, kita juga akan melantik seramai 1,470 personel MyPg iaitu pembantu guru bagi tahun 2025. Sekolah-sekolah yang terpilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan akan menerima dua orang pembantu guru bagi sekolah tersebut,” katanya ketika berucap pada majlis yang bertemakan ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’, di sini.

Bagi inisiatif ketiga, Fadhlina berkata, seramai 32 guru terpilih akan dihantar ke United Kingdom untuk menjalani pengalaman pengajaran di sekolah antarabangsa secara percuma di bawah Program Global Immersion For Future-Ready Teachers (GIFT).

Katanya, guru-guru terpilih itu merupakan para guru yang menerima Anugerah IKON, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Khas Pendidikan dan Anugerah Guru Berwibawa.

Inisiatif keempat, kata Fadhlina, kementerian turut menyediakan peluang kepada guru dan pegawai terpilih untuk mengikuti kursus jangka pendek di luar negara yang bertujuan untuk mereka menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang terpilih yang dapat diaplikasikan untuk meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia.

Inisiatif kelima pula, sebagai menghargai jasa guru, kementerian menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus bagi pembelian tiket kapal terbang ke seluruh destinasi melalui portal MH GoM yang diharapkan dapat meringankan kos perjalanan para guru.

Bagi inisiatif keenam, Fadhlina berkata, guru-guru juga akan menerima diskaun antara 20 hingga 30 peratus untuk pembelian buku secara atas talian menggunakan ID DELIMa KPM untuk menggalakkan budaya pembacaan dan pembelajaran berterusan dalam kalangan guru.

Sehubungan itu, jelas Fadhlina, dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini, diharapkan para guru lebih bersemangat dan diberikan keistimewaan hasil daripada pengorbanan yang telah mereka curahkan kepada masyarakat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan