KUCHING, 16 Mei: Sarawak terus menunjukkan komitmen tinggi dalam melonjakkan martabat pendidikan, termasuk menjadi negeri pertama yang bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) khusus bagi bidang tersebut.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pendekatan ini merupakan satu daripada perkara yang telah dimuktamadkan bersama Kerajaan Sarawak sebagai cerminan kepada semangat kerjasama dalam menaik taraf sektor pendidikan.
“Ini yang kita mahukan dari semasa ke semasa, melihat komitmen Sarawak bersama dengan kita melonjakkan martabat pendidikan.
“Saya lihat komitmen itu ada dengan rakan-rakan di Sarawak dan kita akan pastikan bahawa apa yang kita mahu bersama, khususnya kepentingan-kepentingan pendidikan dilaksanakan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Malam Berambeh Segulai Sejalai sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-54 2025 di sini, malam Khamis.
Fadhlina turut menyentuh tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan Negara’ yang disifatkan sebagai tema bermakna dan bukan sekadar retorik.
“Tema ini bukanlah hanya retorik semata-mata, tetapi sedang kita kerjakan. Kita mahu pastikan guru-guru turut bersama dengan kita dalam memastikan martabat pendidikan negara terus kita angkat dengan bersungguh-sungguh,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik Sarawak yang telah menyumbang kepada peningkatan prestasi akademik negeri ini.
Ini termasuk pencapaian memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, yang dilihat sebagai petunjuk jelas kejayaan usaha kolaboratif antara pelbagai pihak berkepentingan.
Fadhlina menyatakan harapan agar kejayaan tersebut menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif dan kolaborasi dalam memperkasakan ekosistem pendidikan, bukan sahaja di Sarawak, tetapi di seluruh negara.
“Saya rakamkan tahniah juga atas kejayaan SPM baru-baru ini di Sarawak. Kita lihat lonjakannya sangat baik dan kita mahu status serta kejayaan ini terus diraikan dan dikekalkan,” katanya.