Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Fadhlina Sidek bersama para guru ketika mengadakan lawatan rasmi ke SMK Sebuyau sempena sambutan Hari Guru pada Khamis.

Pembinaan bangunan baharu SMK Sebuyau bermula Jun 2025

ByConnie Grace

KUCHING, 16 Mei: Projek pembinaan bangunan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau akan dimulakan pada Jun 2025 sebagai langkah kerajaan untuk mengatasi isu infrastruktur daif serta masalah keciciran pelajar di kawasan tersebut.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, proses pelantikan kontraktor dijangka selesai dalam masa seminggu seterusnya membolehkan kerja tinjauan tapak dijalankan segera.

Menurut beliau, tindakan segera diambil selepas beberapa isu mengenai keadaan sekolah sedia ada dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Dato Sri Julaihi Narawi.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat kerana membangkitkan isu ini. Hari ini saya turun sendiri melihat situasi sekolah ini.

“Seperti yang dibincangkan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), intervensi segera harus dilakukan untuk memastikan projek sekolah baharu SMK Sebuyau ini dilaksanakan dengan pantas,” katanya semasa lawatan rasmi ke SMK Sebuyau sempena sambutan Hari Guru pada Khamis.

Tambah beliau, pembinaan sekolah baharu ini bukan sahaja bertujuan menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih baik, tetapi juga untuk menangani masalah keciciran pelajar di kawasan tersebut.

“Sekolah baharu ini akan dilengkapi dengan kemudahan asrama yang lebih kondusif. Kita sedar, asrama merupakan faktor utama yang membantu memastikan pelajar dari kawasan pedalaman hadir secara konsisten ke sekolah,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa pembinaan ini juga bertujuan melonjakkan lagi prestasi akademik dan kokurikulum pelajar di kawasan Sebuyau, selain menjaga kebajikan pelajar dan guru.

Menerusi lawatan tersebut, beliau menyerahkan sumbangan khas sebanyak RM105,000 kepada pihak sekolah untuk kerja-kerja penyelenggaraan segera dan menaik taraf sementara menunggu siapnya sekolah baharu.

“Untuk sementara ini, kita salurkan RM5,000 kepada Kelab Guru, RM50,000 untuk menaik taraf dan membaiki bilik guru, serta RM50,000 lagi bagi penyelenggaraan biasa bangunan sekolah,” ujar Fadhlina.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan penghargaan khusus kepada guru-guru yang terus gigih mendidik meskipun dalam keadaan kemudahan yang kurang kondusif ketika ini.

“Mudah-mudahan guru-guru akan terus bersemangat mengajar sehingga sekolah baharu ini siap sepenuhnya. Sekali lagi, saya ucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di sini,” katanya.

Justeru, tambahnya lagi, projek sekolah baharu SMK Sebuyau ini dijangka dapat memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat khususnya pelajar luar bandar yang selama ini berhadapan dengan cabaran akses pendidikan berkualiti disebabkan kekangan kemudahan yang ada. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan