KUCHING, 16 Mei: Kerajaan Sarawak menyatakan kesediaan menawarkan pembiayaan ekuiti kepada syarikat tempatan terutamanya dalam pembangunan filem.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, komitmen tersebut dijangka mampu membangunkan industri perfileman menerusi digitalisasi.
“Kerajaan Sarawak pada ketika ini memperuntukkan dana modal teroka. Kita telah meletakkan dana untuk ini.
“Sekiranya syarikat anda menghasilkan filem berdaya maju dan mempunyai potensi pasaran tinggi, sudah tentu anda akan ditawarkan pembiayaan ekuiti.
“Bagi kerajaan Sarawak, kita akan mengkaji projek-projek ini dan kemungkinan menerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) atau agensi, kami akan menawarkan pembiayaan ekuiti kepada filem atau projek dicadangkan atau yang memiliki potensi pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jelajah Malaysia Digital@Kuching di Tegas Digital Village, pada Jumaat.
Dalam pada itu Abang Johari turut menzahirkan kebimbangan dalam kemajuan digital khususnya penipuan menggunakan teknologi deepfake yang tidak terkawal.
“Ini adalah satu cabaran besar dalam digitalisasi. Kita perlu memperkenalkan undang-undang untuk mengelak daripada perkara tidak diingini berlaku,” ujarnya. – TVS