KUCHING, 16 Mei: Kerajaan kini dalam peringkat merangka pelaksanaan Skim Pembantu Guru (MyPG) yang dijangka memberi impak besar terhadap kecekapan sistem pendidikan serta kesejahteraan guru di sekolah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif ini digerakkan sebagai langkah strategik untuk mengurangkan beban tugas guru, sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan penuh kepada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Menurut beliau, skim ini akan memberi keutamaan kepada sekolah-sekolah tertentu, termasuk Sekolah Kurang Murid (SKM) atau sekolah yang berdepan dengan pelbagai kekangan operasi, termasuk kekurangan tenaga pengurusan dan pentadbiran.
“Saya juga amat yakin bahawa jika penambahan ini (MyPG) dilakukan, tugas asal guru dapat tertumpu sepenuhnya kepada pelaksanaan pedagogi bagi mencapai mutu pendidikan yang tinggi suatu hari nanti.
“Ini kerana beban-beban lain akan digalas oleh pembantu guru,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-54 Tahun 2025 di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, guru dibebani dengan pelbagai tugasan pentadbiran, pengisian sistem digital, laporan dan aktiviti luar bilik darjah yang mengganggu fokus kepada tugas utama, iaitu mendidik pelajar.
Jelasnya, langkah berkenaan bukan sahaja dijangka meningkatkan motivasi dan kesejahteraan guru, malah juga berpotensi memberikan kesan langsung terhadap pencapaian pelajar di sekolah melalui suasana pembelajaran yang lebih terancang dan berkesan.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam ucapannya berkata, seramai 1,470 orang personel MyPg, iaitu pembantu guru bagi tahun 2025 akan dilantik dan sekolah yang terpilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan akan menerima dua orang pembantu guru tersebut. – TVS