Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemandu lori muatan batu kerikil yang terlibat dalam kemalangan maut sehingga meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada Selasa lalu dibawa ke Mahkamah Teluk Intan hari ini bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Foto Bernama

Pemandu lori didakwa memandu berbahaya sebabkan kematian sembilan anggota FRU

ByBernama

TELUK INTAN, 16 Mei: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Selasa lepas.

Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffuddin.

Bagi pertuduhan pertama, Rudi Zulkarnain sebagai pemandu lori telah memandu secara berbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian Sarjan S Perumal, 44, di KM15 Jalan Sungai Manik pada 9.05 pagi, 13 Mei.

Bagi pertuduhan kedua hingga sembilan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama menyebabkan kematian Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41; Koperal Nurit Ak Pandak, 34; Koperal Amiruddin Zabri, 38, Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38, Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33 dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, di tempat, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan tidak lebih RM50,000, serta hilang kelayakan memegang dan mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Izzuddin Fakri Hamdan menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes di mahkamah selesai selain melapor diri di balai polis berhampiran setiap minggu.

Tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Francais Sinappan memohon jaminan minimum atas alasan mempunyai pendapatan RM2,500 sebulan dan menghidap penyakit asma.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi semua pertuduhan dan membenarkan syarat tambahan seperti dikemukakan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 17 Jun ini untuk sebutan semula kes. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan