KUCHING, 16 Mei: Statistik jenayah indeks di daerah Kuching menunjukkan penurunan 44.04 peratus bagi tempoh 1 Januari hingga 30 April 2025 berbanding tempoh sama tahun 2024.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata sebanyak 192 kes melibatkan jenayah harta benda berjaya dikurangkan sepanjang tempoh tersebut, manakala jenayah kekerasan juga menurun sebanyak dua kes atau 5.26 peratus.
“Penurunan ini jelas menunjukkan komitmen berterusan semua pihak dalam memastikan tahap keselamatan awam berada pada tahap optimum,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan sebanyak 784 kertas siasatan dibuka membabitkan kes jenayah narkotik dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, dengan seramai 842 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.
Namun begitu, katanya, jenayah komersial menunjukkan peningkatan apabila 1,027 laporan polis diterima antara Januari hingga April 2025, dengan 242 kertas siasatan dibuka.
“Jumlah itu meningkat sebanyak 134 kes atau 55 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Dari segi kerugian, nilai yang dicatatkan melonjak sebanyak RM3 juta, iaitu peningkatan 27 peratus,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama yang diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama ini dan berharap sokongan itu dapat diteruskan.
“Saya menyeru masyarakat agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis berhubung sebarang kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan masing-masing. Usaha membanteras jenayah memerlukan penglibatan semua pihak,” katanya.