KUCHING, 16 Mei: Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini menjadi keutamaan kerajaan dalam usaha membina modal insan berkemahiran tinggi yang memenuhi kehendak industri masa kini dan masa depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan ini penting dalam memastikan pelajar tidak hanya cemerlang dari aspek akademik, tetapi juga bersedia dengan kemahiran teknikal yang tinggi untuk bersaing dalam pasaran kerja global.
Menurut beliau, semua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) telah diarahkan untuk memberi keutamaan sekurang-kurangnya 70 peratus dalam bidang STEM.
“Pihak MRSM sendiri telah mula melaksanakan usaha ini bermula tahun ini. Daripada 57 MRSM yang sedia ada, sebahagiannya telah dijadikan MRSM Ulul Albab, namun keutamaan tetap diberikan kepada bidang STEM.
“Begitu juga dengan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang telah melaksanakan arahan kerajaan kerana kita amat memerlukan feeder school (sekolah pemangkin) yang akan menghantar pelajar-pelajar ke institusi pengajian tinggi dalam bidang teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-54 Tahun 2025, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Menurutnya, kelulusan dalam bidang STEM amat penting bagi pelajar-pelajar ini untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Menurut Ahmad Zahid, sehingga akhir bulan lalu, portal permohonan TVET yang dikendalikan melalui platform Unit Pengambilan TVET (UP_TVET) telah menerima lebih 106,000 permohonan hanya dalam tempoh satu bulan setengah yang merupakan satu angka yang dianggap sangat memberangsangkan.
Kempen kesedaran yang dilaksanakan mendapat sambutan positif bukan sahaja daripada ibu bapa, malah turut menerima maklum balas menggalakkan dalam kalangan pelajar sendiri.
Berdasarkan penilaian pihak ketiga, bidang perusahaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menawarkan kadar gaji melebihi gaji minimum, selain menunjukkan permintaan tinggi dalam pasaran kerja.
“Kejayaan ini adalah hasil daripada sistem pendidikan vokasional yang telah dibangunkan dalam ekosistem Kementerian Pendidikan (KPM) sendiri,” ujarnya.