PAPAR, 16 Mei: Sebuah kedai menjual barangan tekstil dan perabot di Benoni Commercial Centre di sini terbakar awal pagi tadi namun tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.27 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi enam minit kemudian melibatkan kekuatan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dan BBP Putatan.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah kedai dua tingkat jenis kekal berkeluasan 40×60 kaki.
“Pasukan bomba memotong pintu roller shutter (pintu gulung) menggunakan disc saw (gergaji piring)
untuk memasuki premis sebelum menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dan tiga pancutan air dari tangki jentera bomba,” katanya.
Operasi berjaya dikawal pada jam 6.53 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.49 pagi.
Tiada kecederaan dilaporkan manakala punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran tersebut masih disiasat. – TVS