Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
MOF, Amir Hamzah Azizan, Ekonomi MADANI, KDNK, ekonomi Foto fail Faitullah Morni (TVS)

KDNK suku pertama 2025 seiring dengan anggaran awal, lebih tinggi daripada prestasi suku sama 2024

ByBernama

KUALA LUMPUR, 16 Mei: Pertumbuhan menggalakkan dalam sektor ekonomi utama negara telah memangkin pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama 2025, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Kementerian itu menjelaskan kadar itu adalah selari dengan anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mengatasi pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus pada tempoh yang sama tahun lepas.

“KDNK suku pertama 2025 dipacu oleh sektor perkhidmatan (5.0 peratus), pembuatan (4.1 peratus) dan pembinaan (14.2 peratus).

“Pertumbuhan ekonomi ini turut disokong oleh perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi semasa musim perayaan Tahun Baru Cina dan pra-Aidilfitri, pelaksanaan gaji minimum yang berkuat kuasa pada Februari 2025 serta kenaikan gaji kakitangan awam baru-baru ini,” tambah MOF dalam kenyataan pada Jumaat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata penggunaan swasta, yang telah menjadi tonggak utama ekonomi Malaysia, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.0 peratus pada suku pertama 2025.

“Ini didorong oleh prestasi pasaran buruh yang menggalakkan dengan penurunan kadar pengangguran kepada 3.1 peratus dan kestabilan kadar inflasi pada 1.5 peratus — kedua-duanya terendah dalam sejarah Kerajaan MADANI,” katanya.

Beliau berkata pelaburan telah mengekalkan momentum pertumbuhan pada suku pertama 2025, dengan kenaikan sebanyak 9.7 peratus.

“Ini mencerminkan sambutan baik pelabur dunia terhadap dasar propembangunan Kerajaan MADANI serta penekanan aspek kelestarian seperti digariskan dalam antaranya Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS),” katanya.

MOF menjelaskan usaha turut giat dilaksanakan untuk terus menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, di samping mengekalkan ekosistem pelaburan yang dinamik selepas mencatatkan pelaburan domestik tertinggi dalam tempoh sedekad pada 2024.

Di samping itu, Kerajaan MADANI akan terus memantau perkembangan ekonomi dalam dan luar negara serta bersedia melaksanakan dasar yang bersesuaian bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang konsisten, mampan dan inklusif demi kesejahteraan seluruh lapisan masyarakat, tambah kementerian itu.

“Kerajaan juga komited untuk terus memelihara keyakinan pelabur serta melindungi industri domestik dalam menghadapi landskap ekonomi global yang mencabar,” menurut MOF.

Kementerian itu memaklumkan, pada masa yang sama, Kerajaan MADANI akur terdapat risiko penurunan kepada unjuran rasmi pertumbuhan pada 2025 iaitu 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.

Ini disebabkan oleh permintaan luaran yang kian menguncup, ketegangan geopolitik yang meningkat dan amalan perlindungan perdagangan yang kian meluas — khususnya pengumuman tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, jelasnya.

“Kerajaan MADANI akan membuat semakan kepada unjuran KDNK 2025 apabila situasi tarif timbal balik ini menjadi lebih stabil dan terdapat lebih kejelasan,” tambah MOF.

Pada masa sama, Kerajaan MADANI akan melaksanakan beberapa langkah mitigasi untuk mengukuhkan asas dalaman negara — dengan satu daripadanya mempertingkatkan pelaburan langsung domestik (DDI), tambah MOF.

Kementerian itu menjelaskan syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah memberi komitmen untuk bersama-sama melabur sebanyak RM25 bilion untuk DDI pada tahun ini, melalui program GEAR-uP.

“Kerajaan juga akan meneruskan rundingan perdagangan dua hala dengan AS serta memanfaatkan saluran pelbagai hala seperti Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi memastikan persekitaran perdagangan yang adil dan kondusif untuk semua pihak,” menurut MOF.

Kerajaan MADANI akan terus memperhebat usaha mempelbagaikan pasaran eksport dan memeterai perjanjian perdagangan baharu untuk meredakan impak daripada ketidaktentuan ekonomi global.

“Usaha ini telah membuahkan hasil awal pada 2024 dengan peningkatan pelaburan dan nilai eksport ke pasaran bukan tradisional — seperti Mesir, Pakistan, dan Kemboja, selain daripada pasaran ASEAN yang lain.

Kerajaan MADANI juga akan giat mempercepat pelaksanaan agenda reformasi Ekonomi MADANI dengan tumpuan kepada kelestarian fiskal negara, memperkukuh nilai rantaian ekonomi negara dan membela kelangsungan rakyat terbanyak melalui jaringan keselamatan sosial serta mencungkil modal insan tempatan, menurut MOF. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan