BETONG, 16 Mei: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) boleh dianggap sebagai tulang belakang kepada struktur tadbir urus kerajaan di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, ini kerana JKKK menjadi penghubung utama antara kerajaan dengan masyarakat.
“Peranan JKKK bukan sahaja dalam menyampaikan dasar dan inisiatif kerajaan tetapi juga dalam mengenal pasti isu setempat, menyelaras aktiviti pembangunan kampung dalam memastikan kesejahteraan dan keharmonian komuniti sentiasa kekal terpelihara,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Layar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan JKKK Pentadbiran Pejabat Daerah Betong di Betong pada Jumaat.
Menurutnya, penganjuran majlis penghargaan seperti itu sangat penting sebagai platform menghargai sumbangan dan komitmen JKKK dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin komuniti.
Tambahnya, keikhlasan dan kesungguhan ahli JKKK dalam menabur bakti pada zaman serba mencabar sekarang harus disanjung tinggi semua pihak.
“Tuan-tuan dan puan-puan telah berkhidmat tanpa mengira siang dan malam, malah ada yang bertugas dalam keadaan serba kekurangan. Namun semangat dan keikhlasan untuk terus berbakti kepada masyarakat amatlah kita hargai dan sanjung tinggi,” ujarnya.
Beliau turut menyeru ahli JKKK supaya sentiasa bersedia dan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman yang semakin mencabar ketika menjalankan tugas.-TVS