LAWAS, 16 Mei: Jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menyelaras dan memantau secara menyeluruh pelaksanaan projek di bawah Agensi Pembangunan Wilayah (RDA) di Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia sebagai langkah memperkukuh tadbir urus serta menangani isu dan cabaran yang dihadapi setiap agensi.
Menurutnya, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh beliau sendiri dan keahliannya terdiri daripada semua RDA serta agensi pusat berkaitan seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri (EPU), Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri Sarawak (SIMU), kementerian dan jabatan teknikal yang berkaitan.
“Penubuhan jawatankuasa ini adalah sebahagian daripada usaha memperkemas penyelarasan dan pelaporan pelaksanaan projek agar lebih sistematik dan responsif terhadap cabaran di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melawat Pejabat Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).
Lawatan tersebut bertujuan menjalinkan hubungan lebih erat antara beliau selaku penyelaras projek dengan pegawai serta kakitangan RDA di samping menilai prestasi pelaksanaan projek dan mengenal pasti sebarang kekangan yang wujud.
Dalam taklimat tersebut, Datuk Dr Abdul Rahman turut menekankan pentingnya peranan RDA dalam mempercepatkan pembangunan di wilayah masing-masing melalui kelulusan projek tanpa perlu melalui agensi pusat.-TVS